MOGADISHU 7 Ogos - Kerajaan Somalia mengalu-alukan kemasukan bekalan makanan oleh agensi badan kemanusiaan ke negara ini yang berdepan krisis kemarau dan kebuluran selepas rangkaian kumpulan al-Qaeda, al-Shabab berundur dari kebanyakan pangkalannya malam tadi.
Kumpulan militan itu yang sebelum ini menghalang usaha pengagihan makanan di Somalia sehingga mengakibatkan 3.2 juta penduduk negara ini berlapar, dipercayai berundur bagi menukar taktik serangan mereka.
Jurucakap al-Shabab, Ali Mohamed Rage berkata kepada radio tempatan bahawa pengunduran mereka hanya bersifat taktikal dan akan melancarkan serangan pada bila-bila masa.
Seorang saksi yang mendakwa mempunyai maklumat mengenai tindakan pengunduran itu, Mohammed Ali berkata, al-Shabab berundur kerana menghadapi masalah kewangan dan berlakunya perselisihan faham antara pemimpin-pemimpin kanan.
Perdana Menteri Somalia, Abdiweli Mohamed Ali berkata, kumpulan militan itu telah berundur daripada 90 peratus kawasan di ibu negara dan tentera kini memeriksa kawasan lain.
Beliau berkata, kerajaan akan menghantar pasukan keselamatan ke kawasan-kawasan yang dikosongkan oleh al-Shabab. - AP/Agensi
0 comments:
Post a Comment