Thursday, August 4, 2011

INDONESIA: Masjid Istiqlal jadi popular gara-gara kunjungan Obama

 KANAK-KANAK turut memeriahkan solat terawih di Masjid Istiqlal, Jakarta.
KANAK-KANAK turut memeriahkan solat terawih di Masjid Istiqlal, Jakarta.
JAKARTA: Masjid Istiqlal menarik ramai pelancong yang datang untuk melihat lebih dekat masjid terbesar Indonesia dan Asia Tenggara itu sejak ia dikunjungi Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Akhbar Jakarta Post melaporkan, setiausaha pengurusan masjid itu, Subandi berkata lawatan Obama membantu mempromosi masjid dengan jumlah pelancong meningkat mendadak sejak lawatan rasmi presiden itu dan isterinya.

“Sejak kunjungan Obama, purata pelawat asing di masjid ini kira-kira 20 orang sehari. Kebanyakan mereka datang dari Eropah.

“Pelancong melawat Istiqlal kerana berita lawatan Obama tersebar di internet,” kata Subandi yang dipetik kompas.com, semalam.

Obama dan isterinya, Michelle melawat Masjid Istiqlal bermaksud ‘merdeka’ ketika melakukan lawatan singkat ke Indonesia pada November lalu.

Beliau melahirkan kekaguman mengenai seni bina masjid itu turut menyampaikan ceramah umum di Universiti Indonesia di kampus di Depok, Jawa Barat, selepas lawatannya di masjid itu.

Masjid Istiqlal mampu menampung kehadiran 120,000 jemaah dan pembinaannya memakan belanja AS$12 juta (RM36 juta).

Idea membina masjid kebangsaan di Indonesia dilancarkan oleh KH Wahid Hasyim, Menteri Hal Ehwal Agama pertama Indonesia dan Anwar Cokroaminoto yang kemudian dilantik sebagai pengerusi Yayasan Masjid Istiqlal. – Agensi

Sumber

No comments: