BAITULMAQDIS 2 Ogos - Israel bersedia memulakan rundingan damai baru menggunakan garis sempadan 1967 sebagai asas rundingan, jika Palestin membatalkan usaha untuk memohon keanggotaan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Seorang pegawai kanan kerajaan Israel hari ini mengesahkan, rejim Zionis itu sedang bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dan anggota Kuartet Asia Barat untuk menyediakan kerangka baru bagi melancarkan semula rundingan damai yang tergendala.
Pakej baru itu bertujuan membawa semula pihak Palestin ke meja rundingan dan mematahkan rancangan mereka untuk memohon keanggotaan PBB bagi sebuah negara Palestin mengikut garis sempadan yang wujud sebelum Perang Enam Hari 1967.
Rundingan mengenai kerangka baru itu mula dilaporkan oleh media Israel malam tadi tetapi pegawai Israel itu hanya mengesahkan butir-butirnya pagi ini.
"Sejak beberapa minggu lalu, usaha dijalankan untuk menghidupkan semula proses damai bagi membolehkan rundingan langsung antara Israel dengan Palestin disambung semula.
"Andaiannya jika proses ini berjaya, Palestin akan menarik balik rancangan mereka untuk mengambil tindakan unilateral di PBB," kata pegawai itu.
Kerangka baru yang dibincangkan adalah berasaskan ucapan Presiden AS, Barack Obama kepada kumpulan pelobi pro-Israel, AIPAC pada awal tahun ini.
Obama dalam ucapan itu menuntut diadakan rundingan yang akan mewujudkan sempadan bagi 'Israel dan Palestin berdasarkan garis sempadan 1967 berserta pertukaran kawasan yang dipersetujui bersama'.
Rundingan Israel-Palestin tergendala hampir setahun lalu, kerana Palestin enggan mengadakan rundingan selagi Israel terus membina penempatan haram Yahudi di wilayah mereka. - AFP
0 comments:
Post a Comment