Friday, August 5, 2011

PALESTIN teruskan permohonan kepada PBB

RAMALLAH 4 Ogos - Palestin tidak mungkin membatalkan rancangan mereka untuk memohon keanggotaan penuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pertukaran dengan rundingan damai baru dengan Israel berdasarkan garis sempadan sebelum 1967.

Seorang pegawai Israel semalam mengesahkan, Israel dan Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha untuk menghasilkan kerangka baru rundingan damai yang diharap boleh meyakinkan para pemimpin Palestin supaya menggugurkan usaha mereka untuk memohon keanggotaan penuh di PBB, berbanding status mereka sekarang sebagai pemerhati di badan dunia itu.

Bagaimanapun pegawai Palestin dan penganalisis berkata, para pemimpin Palestin sudah banyak melaburkan masa, wang dan tenaga untuk usaha tersebut dan mereka akan dikecam jika mereka membatalkan rancangan yang sudah digembar-gemburkan itu.

Mereka menyifatkan kerangka baru rundingan damai itu sebagai usaha untuk memperbaiki imej Israel, membolehkan rejim Zionis menunjukkan kesediaan untuk menyambung semula rundingan sambil cuba menggagalkan kempen Palestin untuk menganggotai PBB.

Anggota jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Ahmed Majdalani menggambarkan kerangka baru bagi rundingan damai itu sebagai 'percubaan Israel untuk mematahkan langkah Palestin bagi membawa perjuangan mereka ke PBB'.

Kata Majdalani, pucuk pimpinan Palestin belum menerima secara rasmi sebarang cadangan untuk rundingan baru dan tidak terlibat dengan sebarang perbincangan mengenainya.

Palestin menolak untuk menyambung semula rundingan damai dengan Israel selagi rejim Zionis itu terus membina penempatan haram Yahudi di wilayah mereka.

Pemimpin Palestin sebaliknya sudah merangka rancangan untuk memohon keanggotaan dalam PBB bagi sebuah negara Palestin berasaskan garis sempadan yang wujud sebelum perang Enam Hari 1967, termasuk Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmaqdis Timur.

Pelan tersebut ditentang keras oleh Israel dan AS yang mengancam untuk menggunakan kuasa veto bagi menggagalkan permohonan itu jika ia dibawa ke Majlis Keselamatan PBB.

Seorang lagi pegawai PLO, Abdul Rahum Maluh berkata, tindakan mereka untuk pergi ke PBB adalah langkah politik yang berasingan daripada rundingan. - AFP

Sumber

0 comments: