DAMSYIK 2 Ogos - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) akan menyambung semula sidang khas masuk hari kedua hari ini bagi membincangkan krisis di Syria selepas kereta kebal tentera Presiden Bashar al-Assad menyerang pusat demonstrasi anti-rejim di bandar Hama, semalam.
Aktivis berkata, 24 orang awam dilaporkan terbunuh di beberapa bandar termasuk 10 penunjuk perasaan selepas solat terawih, semalam.
''Seramai 10 orang terbunuh dan beberapa orang lagi cedera di beberapa bandar di Syria akibat ditembak tentera selepas solat terawih,'' kata ketua Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman.
Menurutnya, angka kematian pada hari pertama umat Islam menjalani puasa bulan Ramadan adalah 24 orang dan lebih 150 orang ditahan untuk disoal siasat petang kelmarin.
Demonstrasi berkenaan berlaku ketika Majlis Keselamatan PBB mengadakan sidang khas berhubung tindakan keras Assad dan kuasa Barat sekali lagi mendesak badan dunia itu mengutuk tindakan berkenaan.
Namun, sesi hari pertama sidang khas itu berakhir tanpa mencapai sebarang persetujuan.
Pegawai utama PBB memaklumkan sidang khas itu bahawa 140 orang dilaporkan dibunuh dalam satu serangan tentera kelmarin, manakala 3,000 orang hilang dan 12,000 orang lagi ditahan sejak demonstrasi anti-rejim bermula pada Mac lalu.
Britain, Perancis, Jerman dan Portugal ingin mengeluarkan semula resolusi mengutuk tindakan keras Assad, perkara yang akan dibincangkan hari ini.
Diplomat berkata, bagaimanapun, Majlis Keselamatan mungkin bersetuju mengeluarkan kenyataan itu, namun tiada tindakan lain akan diambil oleh PBB.
Rusia dan China sebelum ini mengancam untuk menghalang sebarang cubaan untuk meluluskan resolusi ke atas Syria.
Brazil, India dan Afrika Selatan juga tidak bersetuju terhadap resolusi atau kenyataan berhubung Syria.
Bagaimanapun, diplomat berkata, semua negara melahirkan kebimbangan berhubung peningkatan tindakan keras Assad di Syria dan sedar Majlis Keselamatan perlu melakukan sesuatu. - AFP
0 comments:
Post a Comment