QUETTA 14 Ogos - Kumpulan militan melancarkan serangan bom dan roket membunuh 18 penduduk di kawasan bergolak di sempadan Pakistan-Afghanistan, tatkala Pakistan menyambut Hari Kemerdekaan ke-64, hari ini.
Menurut ketua polis wilayah berkenaan, Javed Gharshin, seramai 14 orang awam terbunuh dan 23 yang lain cedera apabila sebutir bom meletup di tepi jalan dekat sebuah restoran di pekan Dera Allah Yar.
Kebanyakan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bumbung bangunan telah dikeluarkan, katanya.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut yang berlaku kira-kira 400 kilometer di tenggara Quetta, semasa Pakistan menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 daripada jajahan Britain.
Dalam kejadian berasingan di wilayah yang sama, sekumpulan lelaki bersenjata menaiki motosikal menembak mati seorang wartawan di pekan Khudzar, di barat daya wilayah Baluchistan, kata polis.
"Lelaki bersenjata yang menaiki motosikal menembak mati wartawan agensi berita swasta, Munir Noor ketika mangsa pulang ke rumah selepas membeli-belah di pasar berdekatan,' kata ketua balai polis tempatan, Abdul Qadir Sheikh.
Di barat laut Pakistan yang didiami puak kabilah, sekurang-kurangnya tiga tentera separa terbunuh, manakala 25 yang lain cedera apabila puak militan melepaskan tembakan roket ke arah kem tentera semasa mereka sedang bersiap sedia untuk menyertai perhimpunan sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Empat serangan roket disasarkan ke arah kem di Miranshah, pekan utama di kawasan kabilah Waziristan Utara, di mana Pakistan menghadapi tekanan Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan besar-besaran terhadap kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda, Haggani. - AFP
0 comments:
Post a Comment