Thursday, September 29, 2011

Banjir: PAKISTAN kerugian AS$2b

MIRPURKHAS 28 Sept. - Banjir musim monsun yang melanda kawasan pertanian di Pakistan buat tahun kedua berturut-turut mendatangkan penderitaan ekonomi kepada lapan juta penduduk yang ditimpa bencana kemanusiaan di selatan negara ini.

Di samping itu, lebih 300 orang dilaporkan terkorban dalam banjir musim monsun kali ini sebahagian besarnya di wilayah Sindh.

Kerugian ladang mencecah hampir AS$2 bilion (RM6 bilion) ekoran tanaman bijirin, kapas, tebu, buah-buahan dan sayur-sayuran ditenggelami air, dan pakar menjangka bencana itu boleh memburukkan lagi prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi di Pakistan.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menganggarkan hampir 75 peratus daripada tanaman di wilayah Sindh rosak atau musnah akibat banjir, manakala dua pertiga daripada stok makanan turut terjejas.

Setahun selepas Pakistan mengalami banjir terburuk dalam sejarahnya yang menjejaskan kehidupan 21 juta penduduknya, petani sekali lagi melihat keadaan ladang mereka dengan rasa kecewa.

Menurut jabatan pertanian Sindh, kerugian akibat kemusnahan tanaman dianggarkan 163 bilion rupee (RM5.61 bilion).

Sektor pertanian menyumbang 23 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pakistan dan kadar pertumbuhan ekonomi boleh merosot daripada 4.5 peratus kepada tiga peratus, kata seorang pegawai kanan Kementerian Kewangan.

Eksport juga dijangka terjejas kerana Pakistan menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan makanan rakyatnya sendiri berikutan banjir itu. - AFP

Sumber

1 comment:

pujangga kaki lima said...

moga Malaysia selamat dri bencana