BRUSSELS 16 Sept. - Kesatuan Eropah (EU) berharap dapat memujuk pemimpin-pemimpin Palestin untuk membatalkan usaha mereka mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.
Menurut diplomat-diplomat EU, sebagai balasannya mereka akan menaik sedikit status Palestin dalam pertubuhan badan dunia itu.
"Kami mencadang untuk menaikkan sedikit status Palestin di PBB dan memberikan beberapa hak-hak khas dalam rundingan serta tidak menolak keahlian penuh di PBB pada masa depan," kata diplomat EU itu.
Bagaimanapun masih tidak jelas sama ada kenaikan status itu adalah sebagai pemerhati 'negara bukan anggota' seperti yang diperolehi oleh Vatican atau kepada status lain.
Pihak Berkuasa Palestin kini memegang status 'entiti pemerhati' di PBB.
Ketua Dasar Luar EU, Catherine Ashton turut melawat Asia Barat minggu ini untuk menjadi pengantara kepada Israel dan Palestin bagi memulihkan semula rundingan dan mengalihkan usaha untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut.
Amerika Syarikat memberi amaran usaha Palestin itu akan merosakkan peluang mengadakan semula rundingan dan menghantar wakil ke wilayah itu minggu ini bagi melobi rakyat Palestin.
Israel turut menyatakan bahawa sebarang usaha seperti itu akan menamatkan rundingan damai, yang telah terbantut sejak setahun lalu ekoran pertikaian berhubung pembinaan penempatan haram Yahudi.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada Rabu lalu berikrar tidak akan menarik balik rancangan untuk menjadi anggota penuh PBB selepas ketiadaan rundingan damai dengan Israel. - REUTERS
0 comments:
Post a Comment