Monday, September 19, 2011

INDONESIA: 'Jangan keruhkan suasana di Ambon'

JAKARTA 18 Sept. - Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Laksamana Agus Suhartono menggesa semua pihak termasuk pendatang supaya tidak mengeruhkan lagi suasana di Ambon.

Keadaan di Ambon kini tegas beliau, semakin kondusif khususnya selepas keganasan yang tercetus sehingga menyebabkan lapan orang terbunuh dan puluhan orang cedera baru-baru ini.

"Sesiapa yang mahu menuju ke Ambon diharap dapat memelihara keamanan. Saya minta mereka yang mahu ke sana tidak mengeruhkan semula suasana yang sudah kembali tenang," kata panglima itu lagi.

Pihak berkuasa juga jelas beliau, tidak akan melarang sesiapa sahaja yang mahu ke Ambon.

Pada masa sama, pihak tentera dan polis akan sentiasa memantau aspek keselamatan selain mengawal kemungkinan adanya pengganas yang mahu mencetus kekacauan di sana.

"Kita akan sentiasa berwaspada dengan kemungkinan adanya penyusup. Saat ini, persekitaran di Ambon berada dalam keadaan terkawal. Namun, jika tercetus hal yang mencurigakan kita akan mengetatkan lagi aspek keselamatan," kata Agus lagi.

Pada 10 September lalu, Kota Ambon di Maluku menjadi kecoh apabila seorang warga tempatan Darfin dijumpai maut yang dipercayai telah dibunuh.

Bagaimanapun, ada laporan yang menyebut dia meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya.

Pertikaian yang tercetus kerana mencari punca Darfin meninggal dunia menyebabkan suasana menjadi tegang sehingga menyebabkan berlakunya kekacauan. - Utusan

Sumber

0 comments: