Monday, September 12, 2011

MALAYSIA: Banjir di Perlis: Kini 470 mangsa sudah dipindahkan

KANGAR 12 Sept. – Jumlah mangsa banjir di Perlis yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan meningkat kepada 470 orang sehingga pukul 12 tengah hari ini.

Angka itu meningkat berbanding kira-kira 350 mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir pada sebelah pagi.

Mereka ditempatkan di 13 buah pusat pemindahan mangsa banjir iaitu enam pusat pemindahan di Padang Besar, empat di Arau dan tiga di Kangar.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut meninjau kawasan-kawasan yang dilanda banjir serta bertemu dengan mangsa-mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan.

Baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil meninjau dua buah sekolah di kawasan Arau yang dilanda banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Sheikh Ahmad.

Baginda berdua kemudiannya melawat Klinik Kesihatan Gial yang ditenggelami air dan bertemu mangsa-mangsa banjir di kawasan Titi Tinggi dan Chuping.

Turut menyertai baginda pada lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri Perlis Sabry Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid. - Bernama

Sumber

0 comments: