RAMALLAH 8 Sept. – Palestin hari ini secara rasminya melancarkan kempen mereka dengan tujuan untuk menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai negara anggota ke-194 badan dunia itu.
Para pegawai dan aktivis Palestin hari ini mengumumkan kempen yang diberi nama ‘Kempen Kebangsaan bagi Palestin: negara 194’ dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan diserahkan kepada ketua pejabat PBB di bandar Ramallah, Tebing Barat.
Surat itu menggesa Ki-Moon ‘melakukan segala usaha ke arah memenuhi tuntutan wajar rakyat Palestin’.
Menurut surat itu, kempen Palestin akan meliputi beberapa acara yang diadakan secara aman menjelang pembukaan sidang Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 21 September ini.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (gambar) akan berucap pada UNGA dua hari kemudian.
Sementara itu seorang pegawai kanan Palestin semalam menuduh Amerika Syarikat (AS) menunjukkan ‘sikap menghina’ terhadap orang Arab dengan cuba menghalang Palestin daripada mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara di PBB.
Washington khuatir langkah Palestin untuk membawa perjuangan mereka ke PBB boleh merumitkan lagi usaha AS untuk memulihkan rundingan damai Asia Barat yang terhenti tahun lepas kerana Israel terus berdegil untuk membina kawasan penempatan haram Yahudi.
Utusan damai AS ke Asia Barat, David Hale menemui Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam dalam usaha terbaru Amerika untuk menyekat rancangan Palestin di PBB tetapi beliau sendiri gagal mencerahkan prospek untuk menghidupkan semula rundingan langsung dengan Israel.
“Presiden mengulangi pendirian Palestin dan Arab untuk mendapatkan pengiktirafan di PBB, memandangkan Israel masih enggan mengakui syarat-syarat rujukan yang jelas dan sebaliknya terus membina kawasan penempatan,” kata pegawai kanan Mahmoud, Nabil Abu Rdainah.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Abed Rabbo berkata, dasar AS kini kelihatan terbatas kepada satu isu iaitu menghalang Palestin daripada mengambil inisiatif diplomatik di PBB.
“Isunya bukan kawasan penempatan haram atau kemerdekaan Palestin atau hak-hak rakyat Palestin atau menghentikan jenayah yang dilakukan oleh pendatang haram Yahudi terhadap penduduk Palestin.
“Kesemuanya tidak diendahkan dan satu-satunya isu ialah menghalang kami daripada membawa kes kami ke PBB,” katanya di radio Voice of Palestine.
Pendirian AS itu menunjukkan sikap menghina bukan sahaja terhadap pendirian Palestin tetapi juga terhadap apa yang berlaku di rantau Arab iaitu kebangkitan bagi menuntut keadilan untuk warga Arab dan untuk seluruh rantau ini, tegas Abed Rabbo.
Palestin berpaling kepada PBB kerana menganggap proses damai selama dua dekad dengan Israel tidak lagi membawa faedah. – AP/Reuters
0 comments:
Post a Comment