Friday, September 30, 2011

PALESTIN: Majlis Keselamatan PBB bincang

NEW YORK 29 Sept. - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengambil langkah rasmi yang pertama bagi menimbangkan permohonan Palestin untuk menjadi negara anggota badan dunia itu.

Duta Lebanon ke PBB, Nawaf Salam yang memegang giliran sebagai Presiden Majlis Keselamatan bagi bulan ini berkata, beliau mengemukakan permohonan Palestin itu kepada jawatankuasa mengenai kemasukan anggota baru, langkah yang dikehendaki mengikut peraturan prosedur majlis.

Jawatankuasa tersebut, terdiri daripada kesemua 15 negara anggota Majlis Keselamatan, akan bersidang esok untuk menimbangkan permohonan Palestin itu.

Utusan Palestin ke PBB, Riyad Mansour mengucapkan terima kasih kepada Majlis Keselamatan kerana segera mencapai kesepakatan untuk menimbangkan permohonan Palestin.

"Kami berharap proses ini tidak mengambil masa terlalu lama sebelum kami melihat tindakan positif," katanya.

Proses pertimbangan itu boleh memakan masa berminggu-minggu sebelum dibawa ke peringkat pengundian akhir dalam Majlis Keselamatan, di mana Amerika Syarikat (AS) sudah berikrar akan memveto usul keanggotaan Palestin sekiranya ia menerima sembilan undi sokongan yang diperlukan daripada anggota majlis.

Mansour tidak menyentuh mengenai tentangan AS, sebaliknya melahirkan rasa optimis tentang permohonan Palestin.

"Anda dapat melihat, proses ini berjalan selangkah demi selangkah dan kami berharap Majlis Keselamatan akan menunaikan tanggungjawabnya dan meluluskan permohonan kami," katanya. - Agensi

Sumber

0 comments: