KAHERAH 18 Sept. - Pilihan Raya Parlimen Mesir akan bermula pada 21 November, pengundian pertama di negara ini sejak bekas Presiden Hosni Mubarak digulingkan dalam pemberontakan rakyat pada Februari lalu.
Pengundian untuk dewan rendah Parlimen, Dewan Perhimpunan Rakyat akan diadakan dalam tiga peringkat mulai 21 November dan berakhir pada 3 Januari, lapor akhbar Al-Ahram semalam yang memetik kenyataan ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir, Abdel Moez Ibrahim.
Pengundian untuk dewan tertinggi Parlimen, Majlis Syura akan bermula pada 22 Januari dan berakhir pada 4 Mac.
Agensi berita rasmi, MENA pula memetik sumber Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai berkata, tarikh permulaan pilihan raya pada November dan Januari telah disyorkan kepada Majlis Pemerintah Tentera.
Bagaimanapun sumber tentera berkata, tarikh pilihan raya akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
"Majlis Tentera akan mengeluarkan perintah pada 26 September ini untuk menetapkan tarikh muktamad bagi pilihan raya Dewan Perhimpunan Rakyat dan Majlis Syura," lapor MENA memetik sumbernya di Suruhanjaya Pilihan Raya.
Majlis Tentera menghadapi tekanan rakyat untuk menetapkan tarikh bagi pilihan raya yang dijanjikan selepas penyingkiran Mubarak.
Tarikh belum ditetapkan untuk pilihan raya Presiden yang dijadual menyusuli pilihan raya Parlimen. - Reuters
0 comments:
Post a Comment