Thursday, October 20, 2011

11 pejuang PALESTIN tiba di TURKI


SEBELAS pejuang Palestin yang dibebaskan di Turki menunjukkan isyarat V atau kemenangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga di Ankara, semalam. - REUTERS


ANKARA 19 Okt. - Seramai 11 pejuang Palestin yang dibebaskan menunjukkan isyarat kemenangan sebaik saja tiba di Turki semalam, sebagai sebahagian daripada pertukaran seribu banduan dengan seorang tahanan Israel.

Askar rejim Zionis, Gilad Shalit dan beratus-ratus tahanan Palestin menyeberangi sempadan Israel mengikut arah bertentangan semalam, sekali gus menyaksikan pertukaran terbesar yang pernah diadakan oleh kedua-dua pihak.

Sebuah pesawat peribadi yang membawa 10 lelaki dan seorang wanita terbang dari Kaherah ke ibu negara Turki, dan disambut Duta Palestin di Ankara, Nabil Maafouf dan pegawai Kementerian Luar negara ini.

Menurut agensi berita Anatolian yang memetik kenyataan Nabil, Palestin berterima kasih dengan kerajaan Turki kerana menyokong proses pembebasan rakyat negaranya dan membawa mereka ke negara ini.

"Dengan izin Tuhan, kita akan terus mendapatkan sokongan Turki sehingga Palestin memperoleh kebebasan," katanya.

Laporan media menyebut 11 tahanan yang dibebaskan bermalam di Ankara namun lokasinya tidak didedahkan atas faktor keselamatan.

Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu semalam mengumumkan 10 rakyat Palestin akan tiba di Turki, sebahagian daripada 40 tahanan lain yang turut dihantar ke Syria dan Qatar.

Sementara itu, 15 tahanan Palestin tiba di ibu negara Qatar hari ini dengan menaiki pesawat khas dan mereka disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Abdullah Mahmoud.

Menurut pegawai Palestin, kesemua tahanan yang dibebaskan itu dibawa ke sebuah hotel dan dijangka menjalani pemeriksaan perubatan lewat hari ini.

Mereka yang tiba di Doha merupakan antara sebahagian daripada 477 tahanan yang dibebaskan oleh Israel. - REUTERS/AFP

Sumber

0 comments: