PERTH 29 Okt. - Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) Komanwel membidas laporan kononnya ia menggalakkan hubungan homoseksual dengan mencadangkan kepada mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM) kali ini agar menghapuskan undang-undang yang menjadikan hubungan sejenis sebagai satu jenayah.
Pengerusi EPG, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan, kumpulan itu sebaliknya hanya mencadangkan supaya undang-undang yang berupa diskriminasi terhadap mereka yang mengidap AIDS dan HIV dihapuskan.
Menurut beliau, ini kerana masih terdapat banyak negara Komanwel yang mewarisi sistem perundangan British yang menghalang pengidap AIDS dan HIV daripada menerima rawatan kerana ia dianggap sebagai satu jenayah.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di sini hari ini, mantan Perdana Menteri itu menjelaskan, pada masa ini, jumlah penghidap AIDS dan HIV di negara-negara anggota Komanwel adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada negara-negara bukan ahli pertubuhan itu.
Sehubungan itu, katanya, EPG menerima cadangan daripada negara-negara anggotanya yang berdepan dengan masalah ini dan mahu sesuatu dilakukan bagi membolehkan penghidap AIDS dan HIV menerima rawatan sewajarnya bagi membendung penularan wabak itu.
"Apa yang dikemukakan oleh EPG hanyalah satu syor dan ia terpulang kepada setiap negara anggota sama ada untuk menerimanya atau tidak. Laporan yang dikemukakan oleh EPG tidak mengikat mana-mana negara anggota untuk melaksanakannya,'' jelas beliau.
Syor EPG berhubung isu AIDS dan HIV dilaporkan telah mendapat tentangan kerana ia dikhuatiri akan dianggap homoseksual sebagai satu perlakuan yang boleh diterima.
Cadangan EPG itu bagaimanapun masih terbuka kepada pelbagai tafsiran sebelum ia diterima atau ditolak oleh para pemimpin CHOGM di akhir persidangan mereka esok.
Abdullah berkata, satu lagi cadangan yang mendapat tentangan ialah penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Demokrasi dan Kedaulatan Undang-undang.
Menurut beliau, cadangan itu sebenarnya ialah untuk membantu menteri-menteri luar negara Komanwel dan setiausaha agung badan tersebut menjalankan kerja masing-masing dengan lebih efisyen.
"Seorang Pesuruhjaya yang bebas dan tidak terikat dengan kepentingan politik boleh memainkan peranan untuk memaklum atau menghebahkan sesuatu masalah kepada umum jika ada.
"Pesuruhjaya ini juga boleh membantu dari segi membela negara yang dikecam secara tidak adil berhubung perlanggaran hak asasi manusia,'' jelas beliau.
Terdahulu Abdullah memberitahu, CHOGM harus menerima sebulat suara cadangan EPG demi survival pertubuhan 54 negara bekas tanah jajahan British itu yang kini didakwa lesu dan tidak relevan.
Ini kerana, katanya, 106 syor yang dikemukakan EPG kepada Mesyuarat CHOGM adalah suara negara-negara anggota yang mahu perubahan dilakukan ekoran ia didakwa tidak bersikap pro-aktif ketika sesuatu krisis berlaku, walaupun di kalangan negara anggota.
Katanya, dalam tempoh 16 bulan EPG diwujudkan, ia menerima 330 cadangan daripada pertubuhan dan individu dalam negara-negara Komanwel sebelum memutuskan untuk menyenarai pendekkan 106 daripadanya, dikumpul dan kemukakan untuk perbincangan Ketua-ketua Negara CHOGM.
Hari ini, para pemimpin CHOGM meneruskan perbincangan mereka dalam sesi pemukiman (retreat) yang diadakan di Kings Park tidak jauh dari sini.
Delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - UTUSAN
0 comments:
Post a Comment