Thursday, October 13, 2011

IRAN Dituduh Rancang Bunuh Duta SAUDI

TEHERAN 12 Okt. – Iran menafikan dakwaan Amerika Syarikat (AS) yang mengaitkan republik Islam ini sebagai dalang di sebalik komplot untuk membunuh Duta Arab Saudi ke Washington, Adel al-Jubeir.

Penasihat akhbar kepada Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, Ali Akbar Javanfekr berkata, dakwaan itu hanyalah sebagai helah untuk mengalih perhatian rakyat terhadap masalah dalaman yang dihadapi AS.

‘‘Kerajaan AS dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) mempunyai pengalaman luas untuk mengalih perhatian umum terhadap masalah yang dihadapi AS sendiri.

‘‘Ini adalah senario yang telah dirancang. Kita sedang meneliti motif di sebalik tindakan mereka ini,’’ katanya.

Semalam, Jabatan Kehakiman AS mendakwa dua lelaki yang dikatakan mempunyai kaitan dengan agensi keselamatan Iran merancang membunuh Adel di Washington.

Suspek berkenaan dikenali sebagai Manssor Arbabsiar, 56, warganegara AS yang memiliki pasport AS dan Iran serta Gholam Shakuri, seorang ahli Pasukan Quds.

Peguam Negara AS, Eric Holder berkata, komplot itu dipercayai ditaja dan diarahkan dari Iran.

Sementara itu, Duta Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohammad Khazaee menerusi surat bantahan yang dihantar kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menjelaskan bahawa dakwaan AS itu adalah satu bentuk hasutan.

‘‘Saya menulis surat bantahan ini untuk menunjukkan rasa ‘marah’ Iran berhubung dakwaan AS terhadap Iran.

‘‘Ia jelas bermotifkan politik dan dendam amarah AS terhadap Iran,’’ tegasnya. – REUTERS/AFP

sumber

0 comments: