TRIPOLI 21 Okt. - Pemangku Perdana Menteri kerajaan sementara Libya, Mahmoud Jibril berkata, kematian Muammar Gaddafi berpunca daripada kecederaan di kepala akibat terkena tembakan ketika berbalas-balas tembakan dengan tentera kerajaan sementara Libya di Sirte awal subuh semalam.
Pelbagai laporan bercanggah dibuat mengenai bagaimana Gaddafi terbunuh selepas beliau ditahan setelah konvoinya terkena serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ketika cuba melarikan diri dari bandar kelahirannya di Sirte.
"Gaddafi dibawa keluar dari saluran kumbahan dan tidak memberi sebarang tentangan. Ketika tentera kerajaan sementara membawanya ke trak, dia terkena tembakan sesat di bahagian tangan kanannya.
''Trak yang membawa Gaddafi diserang dan berlaku insiden berbalas-balas tembakan antara tentera kerajaan dan pengikut setia Gaddafi menyebabkan bekas pemimpin Libya itu cedera di kepala akibat terkena tembakan," kata Jibril yang membacakan laporan forensik pada sidang media di Tripoli, hari ini.
"Gaddafi masih hidup ketika beliau dibawa keluar dari Sirte tetapi meninggal dunia beberapa minit sebelum dia tiba di hospital," tambah Jibril. - REUTERS
0 comments:
Post a Comment