Friday, October 14, 2011

LIBYA - Bandar Kelahiran Gaddafi Dikuasai Pejuang

SIRTE 13 Okt. - Bandar kelahiran Muammar Gaddafi, Sirte akhirnya jatuh ke tangan tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) dan seorang daripada anak lelaki bekas pemimpin Libya itu, Mutassim turut ditawan.

Ahli Jawatankuasa NTC, Mohammed Bouker berkata, Mutassim, 36, ditawan ketika cuba melarikan diri dari Sirte dengan kereta bersama ahli keluarganya. Beliau kini dibawa ke Benghazi untuk disoal siasat.

''Ada beberapa 'orang penting' turut ditahan dalam operasi tersebut dan dibawa ke Benghazi.

''Nama mereka akan kami umumkan kemudian atas faktor keselamatan,'' katanya.

Dilahirkan pada 1975, Mutassim merupakan pegawai tentera dan doktor yang memegang jawatan sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan ketika pentadbiran Gaddafi.

Beliau sebelum ini disebut-sebut sebagai antara pengganti bapanya, selain seorang lagi adik beradiknya, Seif al-Islam, untuk mentadbir Libya.

Sementara itu, Seif al-Islam dipercayai masih bersembunyi di sebuah lagi kubu kuat Gaddafi di Bani Walid.

Semalam, tentera NTC melancarkan 'serangan terakhir' untuk menawan Sirte apabila berjaya menawan ibu pejabat polis di bandar itu.

Komander NTC, Zubayr Bakush berkata, Sirte secara keseluruhannya telah dikepung oleh tentera NTC.

Sebelum ini, Gaddafi dilaporkan masih bersembunyi di kawasan gurun di selatan Libya.

Isteri pemimpin Libya itu, Safia bersama dua anak lelakinya, Hannibal dan Mohamed serta anak perempuannya, Aisha dilaporkan telah melarikan diri ke Algeria. - AFP

sumber

0 comments: