BOGOTA 2 Okt. - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan melawat Colombia yang merupakan negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 11 Oktober ini bagi membincangkan isu permohonan Palestin untuk menjadi anggota badan dunia itu.
Rancangan lawatan itu diumumkan oleh Presiden Colombia, Juan Manuel Santos menerusi satu kenyataan, semalam.
"Pemimpin Palestin (Abbas) merancang melawat Colombia pada 11 Oktober ini dan kedatangannya dialu-alukan," katanya.
Santos bagaimanapun menegaskan bahawa lawatan pemimpin Palestin itu ke Colombia tidak akan mempengaruhi negara ini untuk menyokong permohonan Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan daripada PBB.
Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa Colombia berpendirian penubuhan negara Palestin hanya boleh diiktiraf menerusi rundingan damai dengan Israel.
"Colombia sentiasa menyokong Palestin untuk diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka dan dalam pada masa yang sama turut berharap penubuhan negara Palestin akan dicapai menerusi perjanjian antara kedua-dua pihak (Palestin dan Israel)," ujar Santos.
Dalam pada itu, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki pada Khamis lalu berkata, sebanyak lapan negara anggota Majlis Keselamatan PBB berjanji untuk menyokong permohonan Palestin itu dan memerlukan hanya satu undi sahaja lagi sebelum permohonan itu dibawa ke Perhimpunan Agung.
Sementara itu, Britain, Perancis, Jerman, Bosnia dan Portugal masih belum memberi keputusan untuk mengundi atau sebaliknya, manakala Amerika Syarikat (AS) menegaskan untuk mengguna kuasa veto bagi menghalang permohonan Palestin itu.
Colombia menjadi sekutu AS apabila negara kuasa veto itu menyumbangkan dana berjumlah AS$6 bilion (RM18 bilion) sebagai menyokong Bogota bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah dan kumpulan pemberontak. - AFP
0 comments:
Post a Comment