CARACAS 12 Okt. - Pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas pulang dengan tangan kosong selepas gagal mendapatkan sokongan daripada Colombia untuk mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Presiden Colombia, Juan Manuel Santos berkata, beliau mahu negara Palestin wujud, tetapi ia perlu berdasarkan keputusan undian PBB atau resolusi yang ditetapkan.
"Rundingan damai antara Palestin dan Israel juga perlu dilaksanakan kerana dengan cara itu sahaja keamanan dapat dicapai," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Abbas di Bogota.
Namun, Santos menawarkan untuk menjadi orang tengah kepada krisis tersebut setelah beliau mengadakan perbincangan mengenai cadangan tersebut dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton.
Dalam pada itu, Abbas berkata, Palestin bersedia untuk kembali ke meja rundingan damai setelah perbincangan dengan rejim Zionis itu tertangguh pada September 2010.
Beliau mengulangi pendiriannya mengenai tuntutan Palestin untuk menyambung rundingan tersebut, dengan syarat Israel menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin.
Colombia merupakan anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB, yang mana Abbas memerlukan sembilan undi daripada 15 negara anggota untuk menyokong permohonan Palestin menjadi anggota penuh PBB.
Abbas turut mengadakan lawatan ke El Salvador dan Republik Dominican sebelum bertemu Presiden Venezuela, Hugo Chavez untuk meraih sokongan terhadap permohonan Palestin itu.
Beliau dijangka bertemu Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy pada Jumaat ini di Paris untuk membincangkan permohonan Palestin itu.
Perancis merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB. - AFP
0 comments:
Post a Comment