BAITULMAQDIS 12 Okt. – Israel dan Hamas mencapai perjanjian penting yang akan menyaksikan rejim Zionis Israel itu membebaskan lebih 1,000 tahanan Palestin sebagai pertukaran dengan seorang askar Yahudi yang ditahan di Genting Gaza, Gilad Shalit.
Jika perjanjian itu dilaksanakan, penderitaan selama lebih lima tahun akan berakhir bagi Shalit yang ditawan oleh pejuang Palestin yang berpangkalan di Gaza pada Jun 2006.
Pertukaran tahanan itu juga akan menjadi satu kejayaan politik yang besar bagi pergerakan Hamas yang memerintah Gaza.
Kerajaan Israel awal hari ini meluluskan perjanjian tersebut secara rasmi, dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengumumkan butir-butirnya dalam ucapan yang disiar secara langsung di televisyen sejurus selepas membentangkannya kepada Kabinet pada mesyuarat tergempar malam tadi.
“Kita telah menyelesaikan rundingan sukar dengan Hamas bagi membebaskan Shalit, yang akan pulang dalam masa beberapa hari lagi,” katanya.
Ketua Hamas, Khaled Meshaal mengesahkan perjanjian itu dalam ucapannya yang disiarkan di televisyen di Damsyik, dengan berkata, perjanjian itu dicapai menerusi perantaraan Mesir.
“Hamas dan Israel mencapai perjanjian yang akan menyaksikan 1,027 rakyat Palestin, 27 daripada mereka wanita, dibebaskan dalam dua fasa,” katanya pada sidang media yang disiarkan di stesen televisyen berbahasa Arab.
Katanya, pada fasa pertama sebanyak 450 tahanan akan dibebaskan dalam masa seminggu, manakala 550 lagi akan dibebaskan dalam tempoh dua bulan.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyambut baik perjanjian tersebut, sementara ketua perunding damai, Saeb Erakat dalam panggilan telefon dari Venezuela, menggambarkannya sebagai satu ‘kejayaan negara Palestin’.
Di Genting Gaza, Hamas berkata, ‘puluhan ribu’ penduduk Palestin membanjiri jalan raya di utara wilayah tersebut untuk meraikan pembebasan tahanan Palestin yang dijangka berlaku tidak lama lagi.
– AFP
0 comments:
Post a Comment