Monday, October 17, 2011

PALESTIN - Israel Siar Nama Tahanan Bakal Bebas

KELUARGA tahanan Palestin dalam penjara rejim Zionis mengadakan protes dekat pejabat Palang Merah di Gaza menuntut anggota keluarga mereka dibebaskan.
KELUARGA tahanan Palestin dalam penjara rejim Zionis mengadakan protes berhampiran pejabat Palang Merah di Gaza menuntut anggota keluarga mereka dibebaskan.

477 warga Palestin dipilih jadi tukaran askar Yahudi

BAITULMAQDIS: Israel semalam menyiarkan secara rasmi senarai 477 tahanan Palestin yang bakal dibebaskan Selasa depan sebagai langkah pertama dalam perjanjian membebaskan askanya dalam tahanan lawan, Gilad Shalit.

Senarai itu turut membabitkan 27 wanita disiarkan oleh Kementerian Kehakiman dalam laman web Perkhidmatan Penjara Israel, memberikan orang ramai tempoh 48 jam untuk mengemukakan sebarang rayuan perundangan menentang perjanjian yang akan melihat kepulangan Shalit selepas lima tahun dalam tahanan.
Seramai 550 lagi tahanan Palestin akan dibebaskan dalam tempoh dua bulan.
Sebaik saja senarai itu disiarkan, stesen radio dan televisyen utama Israel mula mengumumkan senarai panjang serangan berdarah yang didakwa dilakukan tahanan terbabit.

Antara nama yang diumumkan adalah warga Palestin yang didapati bersalah mengambil bahagian dalam pengeboman kelab malam Tel Aviv pada 2001 yang meragut 21 nyawa dan pengeboman ketika sambutan Passover di hotel pekan pantai Netanya pada 2002 yang membunuh 29 orang, kedua-duanya didakwa dilakukan anggota sayap bersenjata Hamas.

“Selaras dengan keputusan kerajaan Israel pada 11 Oktober 2011, untuk meluluskan pelaksanaan perjanjian bagi membebaskan askarnya yang diculik Gilad Shalit oleh Hamas, tahanan Palestin akan dibebaskan mengikut senarai yang diberikan ini,” menurut satu dokumen yang memperincikan destinasi penyerahan setiap tahanan.
Minggu lalu, beberapa laman web bersekutu pergerakan Islam Hamas dan Jawatankuasa Pejuang Popular (PRC) yang kedua-duanya terbabit menahan Shalit menyiarkan senarai rakyat Palestin yang kononnya akan dibebaskan, tetapi senarai semalam adalah senarai rasmi pertama disiarkan Israel.

Berikutan penyiaran senarai itu, warga Israel yang mahu mengemukakan cabaran perundangan menentang perjanjian tukaran antara Israel dan Hamas, Selasa lalu, boleh membuat petisyen menentangnya.

Jumaat, kumpulan Israel yang mewakili mangsa serangan Palestin mengemukakan petisyen pertama di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan atau menangguhkan perjanjian itu.

Mahkamah sebelum ini tidak pernah menghalang keputusan kerajaan untuk membebaskan tahanan yang terbabit dengan serangan pejuang Palestin terhadap Israel.

Shalit dijadual pulang ke Israel pada masa sama kumpulan pertama 427 tahanan dibebaskan jika syarat perjanjian itu diikuti, kata pegawai. – AFP

sumber

0 comments: