Sunday, October 16, 2011

PALESTIN - Ki-Moon Minta Israel Berhenti

NEW YORK 15 Okt. - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengutuk rancangan Israel untuk membina 2,600 penempatan haram baru di timur Baitulmaqdis yang dilihat bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Sambil menegaskan pembinaan itu sebagai 'tidak boleh diterima', Ki-moon seperti dipetik menerusi kenyataan dari pejabat akhbarnya turut menggesa Israel supaya menghentikan rancangan tersebut.

"Setiausaha Agung PBB (Ki-moon) melahirkan rasa bimbang dengan usaha berterusan Israel untuk membina penempatan haram itu. Ia tidak boleh diterima sama sekali terutama ketika usaha menyambung semula rundingan antara Palestin dan Israel sedang dijalankan.

"Tindakan ini juga bertentangan dengan tuntutan Kuartet Asia Barat yang mahu kedua-dua pihak mengelak daripada membuat provokasi," jelas kenyataan itu semalam.

Kelmarin, kumpulan anti-penempatan haram, Peace Now mendedahkan Israel merancang untuk membina unit penempatan baru di timur Baitulmaqdis.

Ia sekali gus mencetuskan kemarahan penduduk Palestin yang mahu semua aktiviti pembinaan dihentikan sebelum Palestin dan Israel kembali ke meja rundingan.

Kata Peace Now, rancangan pembinaan penempatan haram di kawasan itu telah diluluskan awal minggu ini oleh Jawatankuasa Perbandaran Israel.

Setakat ini, jawatankuasa berkenaan masih 'berdiam diri' daripada membuat sebarang ulasan tetapi Palestin percaya berita itu benar.

Laporan mengenai pembinaan penempatan haram baru itu timbul ketika Palestin berusaha mendapatkan pengiktirafan PBB sebagai sebuah negara berdaulat di Tebing Barat dan Genting Gaza. - REUTERS

0 comments: