Wednesday, November 9, 2011

Demokrasi Islam di TUNISIA

TUNIS 8 Nov. - Sejak memenangi pilihan raya pertama negara ini dengan mendapat 90 daripada 217 kerusi di Dewan Perhimpunan, Parti Islam Ennahda dilihat lebih bersikap sederhana sekali gus mencerminkan peranan agama yang kurang menyerlah dalam arena politik.

Parti tersebut berikrar untuk tidak menumpukan soal keagamaan sahaja, sebaliknya memberi tumpuan bagi mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan penganggur termasuk keadilan rakyat di negara ini.

Pemimpin Ennahda, Rachid Ghannouchi berkata, gabungan Islam dan demokrasi merupakan langkah yang paling ideal untuk visi politiknya.

"Terdapat sedikit kekeliruan di Barat mengenai Islam dan ada juga yang mengaitkannya dengan fundamentalisme, keganasan, dan ekstremis," katanya kepada Reuters.

Di sebalik sokongan kuat terhadap parti Islam tersebut, masih ramai rakyat Tunisia terutamanya golongan wanita sekular tidak yakin dengan pimpinan Ennahda.

"Mereka (golongan wanita sekular) mahu menjadi seperti Turki, namun tidak boleh menjadi seperti Iran," kata Rym, 25, seorang pelatih perubatan di kejiaranan Ennasr.

Dalam pada itu, Ghannouchi memberi jaminan Ennahda bakal memberi kebebasan termasuk hak-hak wanita.

"Kami menentang kerajaan yang menetapkan cara hidup sesebuah masyarakat itu.

"Sepatutnya tiada undang-undang yang boleh digubal untuk menjadikan seseorang itu lebih bersifat keagamaan, kami mempercayai kebebasan beragama," jelasnya mengenai perbezaan matlamat Ennahda dengan kumpulan berhaluan Islam.

Katanya, berdasarkan teori cendekiawan Andalusia, Abu Ishaq al-Shatibi, negara demokrasi memberi tumpuan terhadap nilai-nilai kekeluargaan, agama, harta benda dan kehidupan.

Sehubungan itu, Ghannouchi menegaskan gabungan demokrasi dan Islam mampu membentuk sebuah negara yang adil dan aman. - REUTERS

SUMBER

0 comments: