Thursday, November 10, 2011

INDIA - 31 Hindu Bersalah Bunuh 33 Muslim

MEHSANA 9 Nov. - Sebuah mahkamah di India hari ini mendapati 31 penganut Hindu bersalah membunuh 33 penduduk Islam di sebuah rumah semasa rusuhan agama di negeri Gujarat pada 2002.

Hakim dijangka menjatuhkan hukuman ke atas pesalah terbabit lewat minggu ini, dan mereka boleh dikenakan hukuman mati.

Dalam kejadian yang disifatkan antara rusuhan agama terburuk di India sejak kemerdekaan pada 1947, kira-kira 2,000 orang yang kebanyakannya penduduk Islam terbunuh dalam gelombang keganasan anti-Islam yang berpunca daripada kebakaran di dalam sebuah kereta api di mana ramai penganut Hindu mati terbakar.

Penduduk Islam dituduh mencetuskan kebakaran kereta api itu, dan perusuh Hindu yang ingin membalas dendam mengamuk di kawasan kediaman penduduk Islam di pekan dan kampung di serata Gujarat dalam keganasan selama tiga hari.

"Daripada 73 tertuduh, 31 didapati bersalah dan 42 dibebaskan daripada semua tuduhan," kata Hakim S.C. Srivastava di mahkamah khas dekat kampung Sardarpura di mana 33 penduduk Islam itu berlindung di sebuah rumah kecil pada malam 28 Februari 2002.

Mangsa mencari perlindungan untuk mengelakkan perusuh yang kemudian membakar rumah itu.

Mayat 28 orang ditemui di tempat kejadian, manakala lima lagi meninggal dunia kemudian akibat kecederaan.

Keputusan bersalah hari ini atas tuduhan membunuh dan membakar menyusuli sabitan kesalahan terhadap perusuh Hindu yang lain berhubung keganasan di Gujarat.

Kerajaan Gujarat yang masih diterajui oleh Ketua Menterinya yang ultranasionalis Hindu, Narendra Modi dituduh oleh pertubuhan hak asasi manusia memberi sokongan tersirat terhadap perusuh terbabit.

Pihak berkuasa negeri juga dituduh berlengah-lengah dalam memfailkan pendakwaan terhadap penganut Hindu yang merusuh. - AFP

sumber

0 comments: