Koleksi tulisan : ALLAHYARHAM USTAZ WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
PERBICARAAN mengenai isu ini pernah dibentangkan penulis dalam satu
seminar, yang mana penulis petik sedikit kalimat-kalimat dalam undangan
tersebut yang ternyata sungguh mencabar dan prihatin, di antaranya,
"Seminar ini dianjurkan antara lain untuk menangani gejala kekeliruan
umat Islam yang terjadi akibat penyusupan masuk pelbagai fahaman yang
menyeleweng daripada pegangan yang berasas kepada al-Quran, As-Sunnah,
Ijmak ulama yang muktabar dan Al-Qiyas as-shahih.
Kekeliruan ini ditambah lagi dengan kecetekan ilmu setengah umat Islam
sendiri yang akhirnya menjadi kehairanan tidak tahu untuk membezakan
antara kebenaran dan kebatilan dan akhirnya terpengaruh dengan
slogan-slogan indah yang dibawa oleh pelbagai puak yang berkepentingan."
Mengenai istilah al-Quran, as-sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan
al-Qiyas as-Shahih yang tersebut dalam kalimat secara umum di dunia
Melayu, termasuk di Malaysia, pernah penulis bicarakan dalam ruangan ini
dan juga diungkapkan dalam satu kertas kerja yang panjang yang
dibentang dalam "SEMINAR baHAN RUJUKAN ISLAM NUSANTARA" yang dibentang
di Brunei Darussalam.
Petikan ringkas dapat penulis rakamkan di sini,
"Ulama silam Nusantara, termasuk ulama silam Patani, akur bahawa rujukan
dalam Islam yang paling utama ialah al-Quran dan hadis. Namun mereka
tetap memerlukan rujukan yang banyak dengan berbagai-bagai disiplin ilmu
yang dikarang oleh para ulama Islam.
Oleh itu, mereka mengukuhkan istilah pegangan iaitu al-Quran, hadis,
ijmak ulama dan qiyas as-Shahih. Mereka menolak untuk menentukan segala
persoalan Islam berdasarkan pemikiran otak semata-mata."
Sebenarnya ulama-ulama besar kita di dunia Melayu sejak lama sudah
mempersiapkan benteng yang kukuh, membendung umat Islam kawasan ini
daripada pelbagai penyelewengan.Ia dapat dibuktikan dengan karya-karya
mereka dalam pelbagai keilmuan.
Ulama-ulama dunia Melayu yang dianggap menguasai banyak bidang ilmu di
antaranya orang Banjar meriwayatkan bahawa Sheikh Muhammad Arsyad bin
Abdullah al-Banjari (1122 H/1710 M - 1227 H/1812 M) menguasai
sekurang-kurangnya 35 bidang ilmu.
Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908
M) pula dirakamkan dalam majalah Pengasuh sanggup mengarang dan mengajar
sekurang-kurangnya 47 bidang ilmu. Dalam majalah Pengasuh terbitan yang
sama juga disebutkan bahawa Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali, 1287
H/1871 M -1352 H/1933 M) memperoleh 24 bidang ilmu daripada gurunya,
Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Sungguhpun demikian yang sangat-sangat diberatkan atau ditekankan
sebagai fardu ain adalah tiga bidang ilmu, ialah akidah, fiqh dan
tasawuf. Ketiga-tiga jenis ilmu di atas inilah dianggap benteng
pertahanan golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah di dunia Melayu.
Walau bagaimanapun, yang benar-benar bernama Ahlus Sunnah wal Jamaah itu
menurut kebanyakan ulama ialah pegangan pada akidah, yang dalam hal ini
terdapat dua tokoh imam besar. Kedua-dua imam tersebut ialah Imam Abul
Hasan al-Asy'ari (260 H/873 M - 324 H/935 M) dan Imam Abu Mansur
al-Maturidi (wafat 333 H/944 M).
Imam dalam fiqh pula sekurang-kurangnya banyak dibicaranya empat orang
ialah: Imam Hanafi (80 H/699 M - 150 H/767 M), Imam Maliki (93 H - 179
H), Imam Syafi'ie (150 H/768 M - 204 H/820 M) dan Imam Hanbali (164 H -
241 H). Imam dalam tasawuf pula ialah Sheikh Junaid al-Baghdadi (wafat
297 H/910 M).
Karya-karya ulama Melayu sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah
Ilmu akidah di kalangan ulama dunia Melayu, bahkan secara keseluruhan
ulama Ahli Sunnah wal Jamaah di seluruh dunia Islam dinamakan juga
dengan ilmu tauhid, ilmu kalam, ilmu ushuliddin, dan lain-lain. Sheikh
Ahmad al-Fathani dalam Jumanatut Tauhid menyebut bahawa ilmu tauhid itu
seumpama matahari, ilmu-ilmu selainnya ibarat seperti bintang-bintang
saja.
Di dunia Melayu, termasuk Malaysia, disiplin ilmu tauhid adalah termasuk
ilmu yang paling diutamakan. Ini dapat dibuktikan dengan sangat banyak
kitab ataupun risalah mengenai ilmu itu ditulis oleh ulama-ulama kita.
Untuk menyenaraikan keseluruhan ulama-ulama yang mengarang ilmu ini adalah terlalu banyak.
Karya ilmu tauhid/ akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang
lengkap nama pengarang serta dengan tahunnya yang paling awal dihasilkan
adalah ulama yang berasal dari Kedah. Beliau ialah Ahmad bin Aminuddin
Qadhi (Kedah) dengan karya Ilmu Tauhid yang ditulis tahun 1032 H/1622 M.
Kitab ilmu tauhid yang paling tebal pula ialah Warduz
Zawahir (1245 H/1829 M) susunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Diikuti kitab berjudul Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashauwufis
Shaaffin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad
al-Fathani dan Fat-hul 'Alim (1324 H/1906 M) karya Haji Abdur Rahman
Shiddiq bin Muhammad Afif al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri.
Karya ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang dikarang ulama dunia Melayu dalam bahasa Arab
ialah Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), Munjiyatul 'Awam li Manhajil
Huda minaz Zhalam (1293 H/1876 M) dan Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil
'Awam (1306 H/1888 M) yang ketiga-tiganya karangan Sheikh Ahmad
al-Fathani.
Antara kitab lain dalam bahasa Arab juga iaitu Fat-hul
Majid fi Syarhid Duraril Farid fi 'Ilmit Tauhid (1294 H/1877 M), Tijanud
Darari fi Syarhi Risalatil Bajuri (1297 H/1880 M) dan Zari'atul Yaqin
fi Syarhi Ummil Barahin atau Ad-Durratun Nadhra 'alal 'Aqidatish Shughra
(1302 H/1885 M), ketiga-tiga karangan Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar
al-Bantani.
Kitab ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang besar pengaruhnya di dunia Melayu
pula ialah: Ad-Durrus Tsamin (1232 H/1816 M) karya Sheikh Daud bin
Abdullah al-Fathani, Faridatul Faraid (1313 H/1895 M) karya Sheikh Ahmad
bin Muhammad Zain al-Fathani, Sirajul Huda (tanpa tarikh) karya Sheikh
Muhammad Zainuddin as-Sumbawi dan 'Aqidatun Najin (1308 H/1891 M) karya
Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.
Perhatian raja-raja Melayu
Jauh sebelum kemerdekaan Indonesia (17 Ogos 1945), hampir semua kerajaan
dalam jajahan Belanda di dunia Melayu, termasuk di Semenanjung yang
dijajah oleh Inggeris berpegang teguh dengan Mazhab Syafie dalam fiqh
dan Ahlus Sunnah wal Jama'ah dalam akidah.
Perhatian raja-raja Melayu mengenai perkara yang tersebut sangat jelas,
sebagai contoh tokoh Johor, bernama Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar
dalam karya akidahnya berjudul Matnur Risalatit Tauhidiyah pada
pendahuluan dicatatkan,
"Dan lagi inilah satu daripada beberapa risalah dan kitab-kitab
pelajaran yang dibawa balik ke Johor oleh Yang Maha Mulia Al-Marhum
Sultan Abu Bakar Johor, iaitu pada masa Al-Marhum itu melawat negeri
Mesir di dalam bulan Mac tahun 1893 [Masihi]."
Dimaksudkan ialah sebuah risalah tauhid Ahlus Sunnah wal Jamaah yang
berjudul Al-'Uqudud Durriyah karya ulama Mesir bernama Sheikh Hamzah
Fathullah, pemeriksa sekolah-sekolah Arab di Mesir. Karya tersebut
diterjemahkan oleh Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar ke dalam bahasa
Melayu. Setelah menterjemahkan matan, Dato' Abdullah bin Abdur Rahman
Muar menulis pula syarah risalah itu yang diberi judul Syarhur Risalatit
Tauhidiyah.
Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib Jabbar Syah al-Jarimi al-Fathani
adalah seorang ulama Patani yang menjadi guru Sultan Pahang, dalam karya
akidahnya berjudul Najatul Ikhwan fima Yahshulu bihil Islam wal Iman
(1337 H/1919 M).
Pada halaman muka dinyatakan, "Diterjemahkan ini kitab dengan titah Yang
Maha Mulia al-Mu'tashim Billah as-Sulthan Abdullah al-Muzhaffar Syah
ibni al-Marhum as-Sulthan Ahmad al-Mu'azhzham Syah Pahang ...".
Daripada kedua-dua maklumat di atas dapatlah diambil kesimpulan bahawa
raja-raja Melayu silam mengambil perhatian berat tentang membentengi
negeri-negeri di bawah naungan baginda dengan pegangan yang betul,
itulah akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.
PETIKAN KANDUNGAN BEBERAPA KITAB ULAMA MELAYU
Terlalu banyak pegangan keislaman yang tepat dan betul telah diamalkan
oleh para ulama dunia Melayu dan para ulama seluruh dunia yang pada
zaman kita menjadi sebaliknya. Bagi yang betul dikatakan salah dan yang
salah dikukuhkan sebagai betul.
Pada zaman ini, kita banyak kali terlihat tulisan atau orang bercakap
yang menghina ulama. Di antara tulisan itu seperti dikatakan, "Ulama
pembohong" dan lain-lain. Siapakah yang bertanggungjawab menulis
demikian, dan ulama yang bagaimanakah yang dimaksudkan sebagai pembohong
itu, adalah tidak jelas.
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di dalam karyanya Ad-Durruts Tsamin
(1232 H/1816 M) pernah mengungkapkan bahawa manusia ada jenis yang
dinamakan hubbul ulama, iaitu "kasih kepada ulama", dan sejenis lagi
dinamakan bughdhul ulama, iaitu "benci kepada ulama".
Penulis tidak hairan jika mencaci, menyalahkan dan memperkecil-kecilkan
ulama itu dilakukan oleh orang-orang yang jahil, tetapi adalah sangat
menghairankan jika perbuatan seperti itu dilakukan golongan terpelajar
Islam sendiri.
Dalam beberapa seminar yang pernah penulis ikuti yang bermotifkan untuk
mengangkat martabat seseorang ulama silam yang terkenal misalnya, sekian
ramai yang memuji ulama, namun segelintir ada pula yang
memperkecil-kecilkan dan memandang sinis kepada ulama silam yang sedang
difokuskan.
Bahkan ada yang memandang sesat terhadap ulama silam itu. Ada yang
berani menyalahkan Imam Abu Hasan al-Asy'ari, Imam Al-Ghazali dan
lain-lain, yang telah demikian terkenal dan menjadi ikutan dan rujukan
ulama Islam sedunia berzaman-zaman.
Ulama silam dunia Melayu sama juga nasibnya, segelintir golongan
terpelajar Islam dengan tulisan tajam dan suara lantang berani
menyalahkan ulama-ulama seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh
Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Muhammad Nafis bin
Idris bin Husein al-Banjari, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh
Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ramai lagi.
Sedangkan mereka itu telah dianggap sebagai ulama yang tsiqah dan turas
dunia Melayu oleh ulama rantau ini, sejak antara seratus hingga dua
ratus tahun yang lalu.
Bahkan di antara mereka diakui keulamaan dan benar ilmunya oleh
ulama-ulama antarabangsa pada zamannya. Umat Islam yang jahil kehilangan
pedoman kerana ulama silam yang terkenal dengan kitab-kitab karangannya
yang telah diajarkan sekian lama, lalu dipersalahkan oleh tokoh-tokoh
Islam masa kini. Tokoh-tokoh Islam masa kini pula sering menyalahkan
antara seorang terhadap orang lain yang hidup sezamannya.
Dari hal-hal yang tersebut, kewibawaan ulama dan tokoh Islam zaman kita
telah sirna/hilang, akibatnya orang berani menggelar mereka sebagai
"Ulama pembohong" seperti yang telah disebutkan di atas.
Isu Jihad
Isu semasa yang terjadi pada zaman kita ini terlalu banyak untuk
disentuh. Namun kerana kekurangan ruangan, penulis masuk saja peristiwa
terhangat dibicarakan setelah kejadian 11 September 2001, iaitu istilah
"JIHAD" yang terjadi pelbagai pentafsiran dan kebersimpangsiuran
pendapat antara satu dengan yang lainnya.
Penulis berpendapat bahawa "JIHAD" jika ditinjau dari kitab-kitab fiqh
Mazhab Syafie adalah satu istilah yang kadang-kadang digunakan perkataan
Kitab al-Jihad, kadang-kadang digunakan perkataan Bab al-Jihad.
Ulama-ulama dunia Melayu menterjemahkan istilah jihad itu dengan "perang
sabil", "perang fi sabilillah" dan "perang orang Islam melawan kafir".
Sama ada kita menyetujui atau pun tidak, kerana mempertimbangkan keadaan
di pemerintahan mana kita berada atau zaman bila kita hidup, kita mesti
mengakui dan berkata benar bahawa dalam fiqh Mazhab Syafie perkataan
jihad adalah satu istilah yang ditakrifkan seperti di atas telah ijmak
dan muktamad.
Jika kita sebagai seorang ulama, mentakrif pengertian jihad lain dari
demikian itu, maka pasti akan dicap dengan perkataan "Ulama pembohong"
seperti tersebut di atas oleh orang-orang yang mempelajari fiqh Mazhab
Syafie secara teliti, mendalam dan saksama.
Oleh itu kenal pastilah supaya kita tetap amanah dengan ilmu pengetahuan. Katakanlah yang sebenar walau pahit sekali pun.
Mengenai jihad, seperti tersebut di atas, penulis sentuh sehabis-habis
ringkas, teliti dan berhati-hati, adalah sebagai catatan penulis
mengenai peristiwa besar zaman tersebut (1422 H/ 2001 M).
Namun penulis tiada bermaksud menuding pendapat orang-orang yang tidak
menyetujuinya. Selain itu, penulis juga tiada bermaksud mempengaruhi
siapapun jua, kerana penulis sedar bahawa kepentingan jasmani dan nafsu
peribadi yang cenderung ke arah kebendaan dan seluruh aspek duniawi
seseorang adalah berbeza dengan kepentingan rohani yang lebih menekankan
seluruh aspek ukhrawi.
Selagi kadar kepentingan jasmani dan nafsu lebih dari kadar kepentingan
rohani selagi itulah konsep jihad akan ditolak walaupun telah disepakati
oleh para ulama berdasarkan hujah-hujah yang teguh dan kukuh dari
al-Quran dan hadis Nabi SAW.
Jika kita benar-benar sebagai seorang Muslim dan Mukmin, kita mesti
berpihak dan menerima kebenaran. Pada yang benar itu ialah secara pasti
mengikut al-Quran, as-sunah, dan para ulama yang benar, yang beramal
soleh. Itulah para ulama yang secara pasti meletakkan kepentingan Islam
lebih tinggi dari segala kepentingan lainnya, termasuk kepentingan
peribadi sendiri.
Ciri-ciri Muslim dan Mukmin yang benar, seperti tersebut, terdapat pada
ulama-ulama silam dunia Melayu. Oleh itu mereka adalah layak kita ikuti
jejak perjuangan mereka.