Tuesday, February 28, 2012

Wikileaks Dakwa Stratfor Mirip CIA

LONDON 27 Feb. - Laman web WikiLeaks hari ini mula mendedahkan lebih lima juta e-mel daripada sebuah syarikat analisis keselamatan global yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Syarikat yang digelar Stratfor atau nama rasminya, Strategic Forecasting Inc. dikaitkan mempunyai operasi yang hampir serupa dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Kesemua e-mel yang diperoleh daripada penggodam itu dilihat mampu mendedahkan isu-isu sensitif berhubung operasi perisikan yang dikumpul oleh Stratfor.

Stratfor dalam satu kenyataan berkata, pendedahan tersebut adalah satu daripada usaha untuk menutup mulut dan menakut-nakutkan sesetengah pihak.

"Sesetengah daripada e-mel yang didedahkan itu berkemungkinan palsu dan diubah dengan sengaja untuk mencipta keraguan.

"Kami tidak akan membuat sebarang pengesahan atau penjelasan berhubung perkara itu," kata kenyataan terbabit.

Namun, WikiLeaks tidak menyatakan bagaimana ia dapat mengakses maklumat daripada syarikat yang berpejabat di Austin, Texas itu.

Kumpulan penggodam Anonymous dalam pada itu berkata, pada awal tahun ini, mereka berjaya menggodam 100 e-mel daripada kira-kira 100 kakitangan Stratfor dan bercadang untuk mendedahkannya bagi membongkar operasi sebenar syarikat tersebut kepada umum.

Syarikat yang diasaskan oleh George Friedman itu menyifatkan operasinya sebagai menyediakan maklumat berhubung analisis geopolitik dan pendekatan perisikan.

WikiLeaks menjelaskan kini mereka sedang mengadakan kerjasama dengan kira-kira 20 organisasi media di seluruh dunia yang mempunyai akses kepada pangkalan data emel Stratfor termasuk syarikat penerbitan akhbar AS, McClatchy Co. - REUTERS

sumber

0 comments: