*kemaskini kali pertama - 6 OGOS 2012
1.0 PENDAHULUAN
Tulisan ini dihidangkan dalam bentuk perbincangan,
bukannya argumentasi. Oleh itu saya akan membincangkan pro dan kontra,
menyatakan kecenderungan peribadi saya jika perlu, dan lebih suka jika pembaca dapat
membuat pertimbangan sendiri ke atas maklumat-maklumat yang dihidangkan.
Tulisan ini juga dibuat tanpa saya merujuk kepada mana-mana tulisan berkaitan
kerana setakat ini saya belum jumpa mana-mana orang yang menghuraikannya dengan
panjang lebar. Oleh itu, maklumat-maklumat dalam tulisan ini tidak mustahil
mengandungi kelemahan dan kesalahan.
2.0 MENILAI
PEGANGAN NASSER MOHAMED (AL-MAHDI)
2.1 WAJAH AL-MAHDI
Saya ada melihat beberapa keping gambar yang dikatakan
wajah Al-Mahdi iaitu Nasser Mohamed. Melihatkan pada hidungnya yang mancung,
memang sudah kena dengan isyarat hadith Nabi. Tapi, bahagian dahinya tidak sama
kerana dahinya jenis sempit sedangkan dahi Al-Mahdi luas.
“Al-Mahdi itu dahinya luas dan hidungnya
mancung.” (Abu Daud)
2.2 KEMAKSUMAN
Nasser Mohamed mengakui dirinya tidak maksum. Bahagian
ini memang kita persetujui. Tetapi dia menambah pula, bahwa tidak ada sesiapa
pun yang maksum kecuali Allah. Bahagian ini janggal bunyinya, kerana kita sedia
maklum yang para nabi bersifat maksum. Atau mungkin juga Nasser Mohamed
mempunyai definisi ‘maksum’ yang lain daripada yang biasa kita fahami.
2.3 ILMU LADUNI
Katanya dia menerima ilmu terus daripada Allah
sebagaimana Nabi Sulaiman pernah menerimanya. Ilmu ini tidak melalui
perantaraan Malaikat Jibril. Oleh itu dia bukan rasul atau nabi. Dalam kata
lain, ilmu yang dimaksudkan oleh Nasser Mohamed ialah ilmu laduni. Bahagian ini
kita boleh pertimbangkan (boleh dipertimbangkan bukannya bermaksud boleh
dipercayai terus).
2.4 KHULAFA
AR-RASYIDIN
Nasser Mohamed menyanjung Saiyidina Abu Bakar, Umar,
Uthman dan Ali. Hal ini menunjukkan dia bukanlah penganut fahaman Syiah. Namun
begitu dia memandang keutamaan lebih terletak pada Saiyidina Ali berbanding
tiga orang lagi khalifah. Hal ini tidak mengejutkan kita kerana memang ramai
ahli masyarakat Yaman yang memandang Saiyidina Ali lebih afdhal dan lebih utama
untuk menjawat jawatan khalifah selepas pemergian Rasulullah saw. Namun begitu,
dengan pemahaman sebegitu sahaja tidaklah membuatkan mereka terkeluar daripada
Ahli Sunnah wal Jamaah. Pandangan majoriti ulama ialah Saiyidina Ali bukan yang
terafdhal atau paling utama, namun ada juga beberapa pandangan lain yang boleh
dikira terpencil seperti lebih afdhal dan utamanya Fatimah binti Rasulullah dan
Saiyidina Abbas.
2.5 HOLLOW EARTH
Menurut Nasser Mohamed, Hollow Earth ialah satu terowong
di bawah tanah yang memiliki dua pintu. Satu pintu terletak di Utara dan satu
lagi di Selatan. Di sinilah tempat asal Nabi Adam sebelum baginda dihantar
keluar ke bumi.
Ramai umat Islam percaya tempat asal Nabi Adam ialah di
syurga. Namun begitu ada juga yang mengatakan bahawa tempat itu bukannya
syurga. Ia lebih kepada sebuah taman atau kebun yang indah. Sebab itulah ia
disebut sebagai “jannah”, yang bermaksud kebun. Jannah ini tidak sama dengan
Jannah syurga. Pada zaman itu, syurga sebenar belum dibangunkan. Kalau sudah
diwujudkan pun, ia terletak di tempat yang lain. Bukankah Tuhan telah berjanji bahawa
mana-mana manusia yang masuk ke dalam syurga, tidak akan keluar-keluar lagi? Padahal
Nabi Adam dan Hawa dikeluarkan dari jannah.
“Sesungguhnya
orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam jannah dan (berhampiran) mata air.”
(Al-Hijr : 45)
“Mereka tidak berasa
letih di dalamnya dan mereka tidak akan dikeluarkan daripadanya.” (Al-Hijr :
48)
Tuhan juga mengatakan bahawa di dalam syurga tidak akan
terdengar perkataan yang sia-sia, yang tidak elok. Tapi Adam dan Hawa terfitnah
dengan kata-kata Iblis di dalam jannah itu sehinggakan mereka diusir keluar.
“Dalam jannah na’im
(dalam syurga kenikmatan).” (Al-Waqi’ah : 12)
“Di sana mereka
tidak mendengar percakapan yang sia-sia ataupun yang menimbulkan dosa.”
(Al-Waqi’ah : 25)
Kemudian, jika benar jannah yang diduduki Adam dna hawa
itu syurga, bagaimana Iblis yang enggan bersujud kepada Adam sebelum itu boleh
masuk ke sana lalu menghasut Adam dan Hawa?
Kata Iblis : “Tuhan
kamu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini…” (Al-A’raf : 20)
Perkataan “pohon ini” menunjukkan dekatnya Adam, Hawa dan
Iblis dengan pohon larangan itu. Jika jauh, Iblis akan menyebutnya sebagai “pohon
itu”.
Berdasarkan maklumat-maklumat ini, tidak mustahil juga
mereka dahulunya berada di sebuah alam berupa taman atau kebun, bukannya syurga
sebenar. WaAllahua’lam.
Bible pula menyatakan yang Adam dan Hawa berada di sebuah
taman yang dikenali sebagai Taman Eden (ada kaitan dengan Syurga ‘Adn/ ‘Adnin
ataupun wilayah Aden/Eden di Yaman?). Nampaknya maklumat daripada Bible
sedikit-sebanyak menyokong pandangan di atas. Kajian tentang hal ini masih
berterusan.
Berbalik kepada Nasser Mohamed, dia percaya yang Nabi
Adam dan Hawa asalnya bukan tinggal di syurga, tetapi di tempat lain. Hal ini
bolehlah kita beri pertimbangan yang sewajarnya. Namun apabila dia mengatakan
tempat itu ialah di bawah tanah, sukar juga untuk kita memberi pertimbangan.
Kalau dikatakannya tempat itu berada di Bukit Qaf, ataupun di kayangan, ataupun
di alam jin, rasanya lebih selesa untuk kita beri sedikit ruang pertimbangan
berbanding dikatakannya “ di dalam bumi”.
Ayat Al-Quran pula berbicara tentang keluarnya Adam dari
Jannah ke muka bumi sebagai “turun”. Maksudnya Nabi Adam turun dari suatu tempat
yang tinggi, bukannya keluar dari bawah bumi. Sekalipun ‘turun’ dalam ayat itu
hendak kita kaitkan dengan turunnya darjat dan bukan turunnya lokasi, keluar
dari bawah bumi masih tidak enak didengar untuk dikaitkan dengan ‘turun’.
“(Allah) berfirman
: “Turunlah kamu (wahai Adam dan Hawa).
Kamu akan saling bermusuhan satu sama lain. Bumi adalah tempat kediaman
dan kesenanganmu, sampai lah waktu yang ditentukan.” (Allah) berfirman : “Di
sana (bumi) kamu hidup, di sana kamu mati, dan dari sana (juga) kamu akan
dibangkitkan.” (Al-A;raf : 24-25)
Sekiranya Adam dan Hawa berada dalam perut bumi iaitu di
Hollow Earth, pastinya Tuhan akan mengatakan : “Di sini kamu hidup, di sini kamu
mati, dan dari sini kamu akan dibangkitkan.” Hal ini kerana Hollow Earth berada
dalam stau planet dengan permukaan bumi yang kita duduki hari ini. Apabila
Tuahn menggunakan perkataan “di sana”, maksudnya antara tempat asal Nabi Adam
dengan bumi, jaraknya sangat jauh.
Menurut Nasser Mohamed lagi, satu hari di Hollow Earth
sama panjangnya dengan setahun di bumi. Di sini pelik bunyinya. Jika Hollow
Earth berada di dalam bumi, tentulah ia bergerak (sama ada mengelilingi ataupun
dikelilingi objek-objek angkasa lepas yang lain) dengan kadar yang sama. Maka
masanya sepatutnya sama. Bahagian ini kurang jelas kerana tidak banyak maklumat
yang diberikan oleh Nasser Mohamed.
2.6 YAKJUJ DAN
MAKJUJ
Tambahan lagi, Nasser Mohamed percaya Hollow Earth itu
didiami oleh makhluk-makhluk tertentu termasuklah Yakjuj dan Makjuj. Maknanya
selama ini kaum Yakjuj dan Makjuj berada di dalam perut bumi. Suatu hari nanti
mereka akan keluar merosakkan atas muka bumi.
Bahagian berkaitan Yakjuj dan Makjuj ini kalau
dibincangkan secara terperinci akan menjadi sangat panjang. Oleh itu saya
ringkaskan perbincangan tentangnya di sini dengan mengatakan bahawa sukar untuk
saya menerima yang Yakjuj Makjuj berada di dalam tanah. Hal ini kerana kita
tahu Zulqarnain membuat penghadang kepada Yakjuj Makjuj di antara dua gunung,
maksudnya Yakjuj Makjuj berada di sebalik sana kedua-dua gunung tersebut,
bukannya di dalam tanah. Suatu hari nanti, tentera Yakjuj Makjuj akan meluru
dari segenap tempat yang tinggi. Jika mereka keluar dari dalam bumi, tentulah
tak sesuai untuk dikatakan mereka meluru turun dari segenap tempat yang tinggi.
“Hingga apabila
dibukakan Yakjuj dan Makjuj, mereka (datang/turun) dari seluruh tempat yang
tinggi.” (Al-Anbiya’ : 96)
“Sesungguhnya kamu
merasakan kamu tidak mempunyai musuh, sedangkan kamu sentiasa membunuh musuh
kamu, sehingga datang Yakjuj dan Makjuj dalam keadaan muka yang lebar dan mata
yang kecil berwarna kekuning-kuningan, bersegera (meluru) dari tempat yang
tinggi, seolah-olah muka mereka lebam seperti terkena pemukul.” (Ahmad)
Seterusnya Nasser Mohamed memaklumkan bahawa Yakjuj dan
Makjuj belum keluar ke muka bumi kerana Hollow Earth dipisahkan bahagian Utara
dengan Selatannya oleh Tembok Zulqarnain, sebuah tembok besi bersalut tembaga. Bahagian
ini pun sukar untuk saya berikan ruang pertimbangan kerana takkanlah Zulqarnain
membina tembok di dalam tanah, atau di alam ghaib. Katanya lagi, mereka akan keluar apabila
Planet Nibiru/ Sijjil/Saqar melewati bumi suatu hari nanti kerana ketika itu
Tembok Zulqarnain akan termusnah.
Namun begitu, sabagaimana yang saya maklumkan pada
bahagian pendahuluan artikel ini, hujah yang pro tidak saya tinggalkan. Ada
sebuah hadith yang boleh kita katakan sebagai penguat kepada kepercayaan
mengatakan Yakjuj dan Makjuj berada di dalam tanah iaitu :
“Sesungguhnya
Yakjuj dan Makjuj menggali tembok itu setiap hari sehingga mereka hampir dapat
melihat cahaya matahari. Berkata dalam kalangan mereka : “Marilah kita pulang
dan datang semula esok……” (Ahmad, Turmizi)
Yakjuj dan Makjuj menggali setiap hari sehingga hampir
dapat melihat cahaya matahari. Di sini mungkin maksudnya mereka menggali dari
lokasi yang tidak dipancar cahaya matahari. Mungkinkah mereka di dalam tanah? WAllahua’lam.
“Nabi saw bangkit dari tidurnya dalam keadaan muka merah,
baginda berkata : “Tiada Ilah selain Allah! Celakalah kaum Arab yang melakukan
kejahatan. Sesungguhnya makin hampir. Telah terbuka hari ini penutup Yakjuj dan
Makjuj.” Dan baginda membuat isyarat bulatan. (Ahmad)
Terbukanya penutup Yakjuj dan Makjuj ini bersesuaian
dengan keluarnya suku kaum Khazar dari utara (Rusia) melalui pergunungan Kaukasus,
iaitu dari Celahan Darial (Darial Pass). Setakat ini saya cenderung mengatakan
di situlah lokasi tembok besi bersalut tembaga yang dibina oleh Zulqarnain,
berbanding lokasi-lokasi lain. Penghalang Yakjuj Makju ini melebar dari Tembok
Besar China sehinggalah ke Eropah. Kebanyakannya penghalang semulajdi berupa
gunung-ganang dna kawasan tinggi. Tapi apabila Rasulullah bermimpi tentang ‘penutup’
kepada Yakjuj Makjuj, maksudnya lebih kepada suatu binaan, bukannya penghalang
semulajadi. Kaum Khazar ini melakukan kerosakan di tempat-tempat yang mereka
pergi dan berjaya mengalahkan tentera Islam. Bangsa Yakjuj Makjuj itu sangat
luas, dna kaum Khazar ialah salah satu daripadanya. Maksudnya kaum Khazar ialah
kaum Yakjuj Makjuj pertama yang berjaya meloloskan diri dan melakukan kerosakan
lalu kemudiannya diikuti oleh kaum-kaum Yakjuj Makjuj yang lain.
Berdasarkan hujah ini, Yakjuj Makjuj itu bukanlah makhluk
aneh, makhluk asing, raksasa dan seumpamanya, tetapi suku bangsa manusia yang
tidak bertamadun. Pada zaman silam, bangsa-bnags ayang tinggal di utara dunia
hidup tidak bertamadun. Tamadun-tamadun awal dunia semuanya terletak di selatan
daripada penghalang Yakjuj Makjuj seperti tamadun China, Mesopotamia, Yunani,
Greek, Mesir, Mohenjodaro dan lain-lain.
3.0 MENILAI
PEGANGAN ABDUL AZIZ MUHAMMAD NASHIR (PEMUDA BANI TAMIM)
3.1 BANI TAMIM.
Apakah maksud ‘Pemuda Bani Tamim’? Apakah kaitannya
dengan Bani Tamim? Allah tentunya tidak akan secara sia-sia menisbahkan Sang Pemuda
kepada Bani Tamim. Tentu ada kaitannya. Jika tidak, tentu Allah akan
menyebutnya sebagai ‘Pemuda’ sahaja ataupun dinisbahkan-Nya kepada yang lain.
Abdul Aziz yang mengakui dirinya sebagai Pemuda Bani
Tamim tidak pula menjelaskannya kepada kita. Adakah ia bermakud pemuda itu
berketurunan Bani Tamim? Jika benar, Abdul Aziz mestilah memaparkan
salasilahnya yang jelas sehinggalah bertemu dengan seorang lelaki dari Bani
Tamim. Sekurang-kurangnya Abdul Aziz hendaklah menjelaskan kaitan dirinya
dengan Bani Tamim.
“Akan keluar dari
sulbi ini (keturunanku) seorang pemuda yang akan memenuhi bumi ini dengan
keadilan (iiatu Al-Mahdi). Maka apabila kamu meyakini yang demikian itu,
hendaklah kamu bersama-sama Pemuda Bani Tamim. Sesungguhnya dia datang dari
Timur dan dialah pemegang panji-panji Al-Mahdi.” (Thabrani)
Namun sefaham saya, hadith ini bukanlah hadith yang
kukuh. WaAllahua’lam.
3.2 MALAM MASJIDIL
HARAM
Ketika diri Abdul Aziz dimasuki oleh sesuatu (yang
kemudiannya diyakininya sebagai Allah) di Makkah, dia berlari ke Masjidil Haram
pada pukul 1 pagi untuk mendapatkan bantuan, tetapi tidak ada sesiapa di
Masjidil Haram ketika itu. Benarkah di Masjidl Haram tidak ada seorang manusia
pun pada pukul 1 pagi?
Para pembaca yang
pernah pergi ke Makkah di luar musim haji tentu tahu suasana tengah malam di Masjidil
Haram.
3.3 BERHENTI KALA
AZAN SUBUH
Sesuatu (yang diyakininya sebagai Allah) yang masuk ke
dalam badannya itu membuatkan Abdul Aziz berasa sakit, dan sesuatu itu
berkata-kata kepada hatinya “A-Qiamah” berulang kali. Keadaan itu berterusan
sehinggalah ke waktu fajar. Apabila azan Subuh berkumandang, sesuatu itu
berhenti berkata-kata walaupun sakitnya masih ada.
Sepanjang pengalaman saya merawat orang (saya seorang
mu’allij), biasanya yang berhenti membisik atau berkata-kata pada pesakit kala
azan dikumandangkan tidak lain ialah jin. Dalam kes Abdul Aziz ini, tak tahulah
saya.
*Anda sedang membaca kemaskini kali pertama iaiatu pada 6 OGOS 2012. Akan terus bersambung dan dikemaskini selanjutnya...
http://myalexanderwathern.blogspot.com/2012/08/benarkah-mereka-al-mahdi-dan-pemuda.html