
Penduduk Palestin membaling batu ke
arah polis Israel semasa mengadakan tunjuk perasaan di pusat
pemeriksaan Jalama dekat bandar Jenin, Tebing Barat, kelmarin menggesa
pihak berkuasa Israel membebaskan tahanan Palestin yang mengadakan mogok
lapar di penjara israel. - AFP
Wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Mohammed Ayyad berkata, 94 rakyat Palestin cedera, termasuk dua orang cedera ditembak ketika polis melepaskan gas pemedih mata dan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membaling batu.
''Lebih daripada separuh cedera berada di luar penjara tentera Ofer berdekatan Ramallah di mana beratus-ratus tahanan Palestin ditahan,'' katanya.
Beribu-ribu rakyat Palestin mengadakan demonstrasi di seluruh Tebing Barat termasuk kira-kira 2,000 orang di Nablus di mana berlakunya pertempuran antara belia Palestin dan askar Israel berdekatan pos pemeriksaan Huwara.
Kira-kira 2,000 penunjuk perasaan yang mengibar bendera Palestin di pos pemeriksaan tentera Jalameh, luar bandar Jenin, bertempur dengan askar Israel yang melepaskan gas pemedih mata dan menangkap 17 penunjuk perasaan.
Jurucakap polis, Micky Rpsenfel berkata, penduduk Palestin melempar batu ke arah polis di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.
''Polis bertindak melepaskan gas pemedih mata dan lima penduduk Palestin termasuk mereka yang berada dibawah umur 18 tahun ditangkap di daerah Issawiyeh,'' katanya.
Di Hebron, hampir 400 rakyat Palestin berarak bagi menyatakan sokongan kepada tahanan Palestin dan menggesa pembukaan semula laluan ke Palestin yang ditutup sejak 1994 dalam kejadian pembunuhan 24 orang penduduk Palestin oleh penduduk haram Yahudi.
Sumber keselamatan Palestin mendakwa, askar Israel menggunakan bom tangan pegun dan gas pemedih mata untuk menyuraikan perarakan tersebut dan menahan jurugambar agensi berita rasmi Palestin, Wafa.
''Sebanyak empat orang cedera ditembak dalam kejadian itu,'' kata sumber itu. - AFP
No comments:
Post a Comment