Sunday, February 24, 2013

SYRIA: Pemberontak tubuh kerajaan


Pelarian Syria mengadakan demonstrasi di khemah pelarian Zaatari dekat sempadan Syria-Jordan menggesa masyarakat antarabangsa membekalkan senjata kepada pemberontak Syria pada 22 Februari lalu. - AFP
 
DAMSYIK 23 Feb. - Pemberontak Syria berkata, pihaknya akan menubuhkan kerajaan bagi mentadbir kawasan-kawasan 'yang mereka tawan', ketika sebuah bangunan runtuh di bandar Aleppo akibat bedilan peluru berpandu oleh tentera kerajaan, yang menyaksikan 14 orang terbunuh.
Jurucakap gabungan pembangkang daripada Perikatan Nasional, Walid al-Bunni berkata, pemimpin pemberontak akan mengadakan pertemuan pada 2 Mac ini untuk membincangkan pembentukan kerajaan itu dan memilih ketua kerajaan.
''Kami bersetuju membentuk satu kerajaan untuk mentadbir hal ehwal kawasan-kawasan yang dibebaskan,'' katanya selepas satu pertemuan di Kaherah, semalam.
Seorang anggota Perikatan Nasional berkata, perbincangan pembentukan kerajaan itu akan diadakan di Istanbul.
Walid melahirkan harapan kerajaan baru itu akan berpangkalan di kawasan kubu kuat pemberontak di utara Syria.
Dalam pada itu, Pemantau Hak Asasi Manusia berkata, jumlah mangsa dalam kejadian bangunan runtuh dijangka meningkat kerana masih ramai yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di daerah Tariq al-Bab, Aleppo.
Pengarah badan hak asasi, yang berpangkalan di Britain itu, Rami Abdel Rahman berkata, berpuluh-puluh lagi dipercayai cedera dalam serangan itu. - AFP

No comments: