Friday, March 1, 2013

Isu Lahad Datu - PR Bukan Dalangnya

SUBANG JAYA - Pakatan Rakyat (PR) menyangkal dakwaan laporan Reuters yang mendakwa pencerobohan 150 orang di Lahad Datu adalah atas jemputan pihak pembangkang Malaysia.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kenyataan itu datang daripada Umno dan bukannya Reuters.

“Itu kenyataan Umno bukan Reuters, siapa yang beritahu? Itu Umno punya,” katanya selepas majlis perasmian Institut Rakyat di sini, semalam.

Ketika diminta mengulas lanjut berhubung perkara itu, beliau enggan memberikan apa-apa komen lagi.

Memetik laporan Reuters bertarikh 14 Februari lalu, laporan itu mendakwa kumpulan diketuai Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram datang ke Sabah atas jemputan pihak pembangkang bagi bincangkan isu tanah.

Terdahulu, ketika berucap di majlis pelancaran Institut Rakyat dekat sini semalam, Anwar berkata, Institut Rakyat ialah badan pemikir yang mampu memberikan pandangan dalam dasar-dasar ke arah Malaysia baru.

Katanya, Institut Rakyat dibarisi oleh pakar ekonomi dan ahli akademik yang mampu memberi pandangan yang lebih jelas dan bebas.

“Institut ini mampu melahirkan sebuah perubahan di dalam politik Malaysia daripada ketakutan, ugutan dan personaliti ke arah persaingan dasar dan perdebatan.

“Institut Rakyat mempunyai visi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dengan pembangunan ekonomi mampan,” katanya.

Institut Rakyat dipengerusikan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya,  Dr Syed Husin Ali.

Empat lagi lembaga pengarahnya ialah Dr Mehrun Siraj, Dr Tan Book Kean dan Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah.

Misi Institut Rakyat adalah menjana wacana bersama dengan orang awam, masyarakat sivil, dan pembuat dasar, ahli korporat, dan sektor awam melalui bengkel perbincangan, forum, persidangan dan penerbitan kertas kerja.

Institut Rakyat ditubuhkan atas dorongan keperluan dasar-dasar yang berpandukan kefahaman mendalam mengenai pembangunan manusia, keadilan sosial, kebebasan dan peluang yang sama untuk semua rakyat Malaysia.

Antara bidang tumpuan adalah berkaitan; ekonomi dan kewangan; undang-undang, pengurusan pentadbiran dan keadilan sosial; pembangunan manusia dan kemapanan; dasar antarabangsa dan keselamatan; dan media seni dan kebudayaan.

sumber

No comments: