LAHAD DATU 5 Mac - Berikut adalah kenyataan akhbar penuh Ketua Polis
Negara, Tan Sri Ismail Omar yang dibacakan beliau dalam sidang akhbar di
Lahad Datu pagi ini.
Kenyataan Akhbar Ketua Polis Negara
Pasukan keselamatan telah melancarkan tindakan 'offensive' terhadap
kumpulan pengganas yang bertapak di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah
pada jam 7.00 pagi tadi. Operasi ini dilaksanakan oleh PDRM bersama
pihak ATM.
Sejak operasi ini dimulakan sehingga kini, masih terdapat tentangan
dalam bentuk beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh pihak musuh.
Ketika ini 'mopping up' dan penggeledahan sedang dijalankan.
Bagaimanapun, jumlah kematian dan kecederaan di pihak musuh masih belum
dapat disahkan dan setakat ini tidak ada kemalangan di pihak pasukan
keselamatan.
Oleh itu semua pihak dinasihatkan agar tidak membuat andaian atau
spekulasi tentang sebarang kehilangan nyawa memandangkan operasi ini
masih lagi berjalan. Berita-berita yang tidak tepat boleh menjejaskan
operasi ini.
Orang ramai tidak perlu bimbang kerana operasi ini hanya dilancarkan
di Kampung Tanduo sahaja. Oleh itu orang ramai dinasihatkan supaya tidak
masuk ke kawasan operasi dan seterusnya menerima arahan dan mematuhi
nasihat pihak polis yang bertugas di sekatan jalanraya yang menghala ke
Kampung Tanduo. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment