Tuesday, March 5, 2013

MALAYSIA: Operasi besar-besaran tumpaskan penceroboh bersenjata - PM

KUALA LUMPUR 5 Mac - Pasukan keselamatan Malaysia mula melancarkan operasi besar-besaran untuk menumpaskan kumpulan penceroboh di Lahad Datu pada pukul 10 pagi tadi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, operasi bermula dengan serangan udara melalui pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diikuti dengan ledakan mortar.

"Pada saat-saat saya sedang berucap ini, pasukan tentera darat dan anggota polis dalam kereta perisai dengan anggota yang mengikuti di belakang kereta perisai sedang melakukan tindakan memberkas dan menumpaskan kumpulan yang melanggar kedaulatan negara," katanya pada majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara Asnaf di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan kerajaan yang berhemah pada peringkat awalnya, tidak lain dan tidak bukan untuk tidak membenarkan setitik darah tertumpah di bumi Sabah sama ada dalam kalangan rakyat Malaysia mahupun kumpulan yang menceroboh.

Bagaimanapun, katanya, beliau amat dukacita bahawa niat yang baik dan murni ini telah dibalas dengan menembak dan membunuh dengan cara yang sangat kejam terhadap pasukan polis negara.
Sehubungan itu, katanya, sebagai ketua kerajaan, beliau mengambil keputusan bahawa tempoh untuk memberi pertimbangan telah berakhir dan negara perlu bertindak dengan segala kekuatan yang ada.
"Kerana soal kedaulatan dan keamanan, kita tidak akan membiarkan seinci tanah digugat oleh sesiapa pun.
"Saya bersyukur bahawa perhimpunan pada hari ini dan rakyat jelata pada umumnya, menyokong penuh pendirian dan tindakan yang diambil oleh kerajaan.

"Marilah kita sama-sama menghadiahkan surah Al-Fatihah kepada wira-wira negara yang telah terkorban demi mempertahankan tanahair tercinta. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya. - BERNAMA

No comments: