Saturday, March 23, 2013

MALAYSIA - Tubuh Suruhanjaya Bebas atau Buka Kes Altantuya


KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) menyokong ditubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat peguam yang menyediakan draf bagi akuan bersumpah (SD) kedua bekas penyiasat persendirian, P Balasubramaniam.

Pengarah Juham, Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi (gambar) berkata, suruhanjaya tersebut membolehkan nama-nama yang didakwa terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu disiasat khususnya melibatkan pendedahan mendiang Bala.

"Memandangkan pendakwaan kes ini tidak menyeluruh di mahkamah Malaysia, maka perlu kepada suruhanjaya bebas lebih-lebih lagi apabila banyak pendedahan mendiang Bala yang menimbulkan persoalan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sabtu lalu, peguam mendiang Bala, Americk Singh Sidhu mendedahkan seorang peguam senior, Cecil Abraham mengaku menyediakan SD kedua mendiang Bala atas arahan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu didedahkan beliau ketika mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Peguam dekat sini.

Zamri juga berkata, peguam negara seharusnya membuka semula kes pembunuhan ini berdasarkan pendedahan mendiang Bala dan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

"Sebenarnya peguam negara ada kuasa buka semula kes ini selepas  pendedahan mendiang Bala dan Deepak. Tapi perkara ini tidak dialkukan, jadi jalan terakhir ialah penubuhan suruhanjaya bebas," katanya.

Sementara itu, Majlis Peguam memutuskan untuk membuat laporan dengan Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara berhubung dakwaan ke atas salah laku Cecil Abraham itu.

Balasubramaniam pada Julai 2008, membuat akuan bersumpah mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya.

Bagaimanapun, Bala menarik balik SD tersebut dengan membuat SD kedua sehari selepas mendedahkan SD pertama.

Penyiasat persendirian yang pernah berkhidmat dengan Abdul razak baginda itu kemudian menghilangkan diri selepas mendakwa menerima ancaman.

Bala pulang ke tanahair 24 Februari lalu, dan kemudian nekad untuk menjelajah negara bagi mendedahkan skandal berkenaan.

Bagaimanapun hasratnya tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia Jumaat lalu akibat serangan jantung.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/terbaik/17496-altantuya-tubuh-suruhanjaya-bebas-atau-buka-semula-kes 

No comments: