Monday, April 22, 2013

AS bantu pemberontak SYRIA


John Kerry (kanan), Pengerusi Majlis Pembangkang Syria, Moaz al-Khatib (kiri) dan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu menghadiri sidang akhbar selepas pertemuan bersama kumpulan pro-pembangkang 'Rakan Syria' di Istanbul, kelmarin. - AFP 
 
ISTANBUL 21 April - Amerika Syarikat (AS), hari ini bersetuju menambah bantuan kepada pemberontak di Syria termasuk kelengkapan tentera bukan pemusnah, namun tidak akan membekalkan senjata atau terlibat secara langsung dalam konflik di negara itu.
Dalam satu kenyataan selepas mengadakan beberapa rundingan bersama kumpulan propembangkang 'Rakan Syria' di Istanbul, Setiausaha Negara AS, John Kerry berkata, bantuan AS kepada pembangkang akan ditambah menjadi AS$250 juta (RM750 juta).
Menurut kenyataan itu, sesetengah daripada dana tersebut akan digunakan bagi 'menyediakan sokongan tambahan termasuk beberapa jenis bantuan bekalan bukan pemusnah' kepada pemberontak yang menentang Presiden Syria, Bashar al-Assad, berbanding bantuan makanan dan perubatan yang diberikan ketika ini.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan secara terperinci mengenai jenis-jenis bantuan, namun media AS melaporkan, Washington bersedia menyediakan pemberontak dengan peralatan perang berbentuk perlindungan seperti pakaian dan kenderaan perisai, kaca mata khas untuk dipakai pada waktu malam dan juga alat komunikasi.
"Presiden AS, Barack Obama mengarahkan saya untuk meningkatkan usaha kami. Keadaan di Syria ketika ini tidak jelas.
"Tentera Bashar (mungkin) mempunyai senjata kimia, pembunuhan rakyat menggunakan peluru berpandu dan lain-lain senjata pemusnah yang berpotensi merosakkan seluruh negara. Semua ini harus dihentikan," kata Kerry.
Bagaimanapun, bantuan tersebut tidak memenuhi kemahuan pemberontak yang meminta pihak luar membekalkan mereka dengan senjata, mewujudkan zon bebas terbang dan melancarkan serangan udara terhadap tentera Syria yang melancarkan peluru berpandu.
Kebanyakan negara-negara Barat menyatakan kebimbangan mengenai pembekalan senjata kepada pemberontak, yang mungkin akan disalahgunakan oleh kumpulan radikal Islam seperti Barisan al-Nusra, yang dikaitkan dengan al-Qaeda. - AFP

No comments: