Thursday, April 4, 2013

MALAYSIA - 1.7 Juta Ekar Tanah Ditarah di Kelantan?

KOTA BHARU: Umno mendakwa 1.7 juta ekar tanah ditarah, sedangkan keluasan Kelantan ialah 3.7 juta ekar. “Ini langsung tidak masuk akal,” kata Timbalan Menteri Besar.

Datuk Ahmad Yakub berkata, angka yang didakwa pihak terbabit tidak munasabah kerana mereka cuba gambarkan 46 peratus bumi Kelantan ditarah.

“Sedangkan keluasan tanah kerajaan di seluruh negeri ialah 1,003,149 ekar. Hanya kawasan tersebut sahaja dilulus bagi pembangunan.

“Pembangunan tanah itu bagi mendatangkan hasil kepada kerajaan bagi menjaga kepentingan rakyat, lebih-lebih lagi Kelantan banyak dinafikan hak oleh Kerajaan Persekutuan.

“Paling jelas hak royalti petroleum telah dikhianati pemimpin Umno dan Barisan Nasional,” katanya di sini.

Sebelum ini Umno Kelantan mendakwa kawasan hutan seluas 1.7 juta ekar di negeri ini ditarah. Malah risalah percuma mengenainya diterbit Gerakan Bertindak Selamatkan Tanah Rakyat Kelantan diedar di merata tempat.

Pemimpin Umno termasuk presidennya, Datuk Seri Najib Razak juga mendakwa kerajaan negeri memberi tanah kepada pemimpin DAP Perak bagi membolehkan jawatan Menteri Besar Perak diberi kepada Adun PAS pada Mac 2008.

Bagaimanapun blogger Umno yang melemparkan tuduhan tersebut menarik balik kenyataan fitnah yang dilemparkan. Malangnya pemimpin Umno masih lagi menjaja isu terbabit.

Ahmad berkata, kerajaan negeri hanya boleh melaksanakan pembangunan di atas tanah kerajaan.

Beliau juga memberitahu pembangunan ladang komersial yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat dengan kerjasama syarikat swasta bukan secara pajakan.

“Dakwaan yang mengatakan Ladang Rakyat menjual tanah kepada tauke Cina tidak benar dan tak berasas. Ladang Rakyat ditubuh melalui Enakmen Perbadanan.

“Adalah menyalahi undang-undang dan Enakmen Perbadanan apabila Ladang Rakyat menjual tanah kepada syarikat sama ada milik Cina atau Bumiputera.

“Malah, pemajuan tanah tidak melibatkan pemberian pajakan dan syarikat hanya terlibat sebagai pemaju projek sahaja, bukan sebagai tuan punya atau pemajak tanah,” katanya.

Timbalan Menteri Besar juga menjelaskan tiada tanah yang diusahakan rakyat terbabit dengan pembangunan ladang tersebut.

Bagaimanapun kata beliau sekiranya didapati tanah kerajaan diteroka penduduk setempat, Ladang Rakyat membuat perundingan bagi menyelesaikannya.

Misalnya di Lubok Bongor, Jeli dan di Kandek, Dabong seramai 177 penduduk menyerah tanah yang pernah diusahakan mereka kepada kerajaan untuk dimajukan. Mereka pula diserap sebagai peserta Ladang Rakyat.

“Proses ini dipanggil program pemutihan Ladang Rakyat daripada kawasan terokaan. Sedangkan pada peringkat awal kawasan dilulus kepada Ladang Rakyat seluas 80,898 ekar, namun hanya 66,589 ekar dibangunkan.

“Seluas 14,309 ekar lagi ditinggalkan kepada peneroka terbabit. Kawasan itu akan diberi geran hak milik kepada penduduk yang terlibat,” ujarnya.

sumber

No comments: