Monday, April 1, 2013

MALAYSIA - Pendedahan Ajaran Panji Hitam Langkasuka (bah. 1)

Perihal Panji Hitam Langkasuka (bahagian 1)




1.0 PENGENALAN
Alhamdulillah, syukur.
Selalunya apabila muncul ajaran-ajaran atau kumpulan-kumpulan yang pelik-pelik, para sahabat akan menghubungi saya kerana mereka tahu minatnya saya akan hal-hal sedemikian. Tahun 2013 ini merupakan tahun yang paling sibuk bagi saya, jadi saya sangat kekurangan waktu untuk melibatkan diri. Namun dalam minggu ini mesej demi mesej tiba meminta pandangan saya tentang kumpulan Panji Hitam Langkasuka/Nusantara.  
Pada mulanya saya memang tidak bersedia untuk ikut campur, tapi kawan-kawan nampaknya sangat mengharap. Oleh itu, atas keterbatasan ruang masa, saya hanya akan mengkongsikan maklumat-maklumat yang saya sahaja. Berdasarkan maklumat-maklumat itu nanti, para pembaca bolehlah membina keputusan sendiri. Wallahua’lam.
2.0 DIALOG KAMI
Perbualan saya dengan salah seorang pengikut kumpulan Panji Hitam Langkasuka (*atau mungkin juga pemimpinnya sendiri) bermula pada 13 Ogos 2012.
ABON : Assalamualaikum....boleh minta pandangan dan pendapat? Menarik tulisan tuan tentang Pemuda Bani Tamim (*maksudnya tulisan-tulisan saya yang membongkar ajaran sesat Al-Mahdi Yaman dan Pemuda Bani Tamim Lombok).
ABU ZULFIQAR : Wlksm Abonrealtyestate Abon (*saya buat semakan di Facebook semalam, akaun dengan nama ini sudah tidak ada/tidak aktif). Boleh.
ABON : terima kasih..jika tuan ada kelapangan kita sembang di chat..minta tuan accept ana.
(*Selepas diterima sebagai rakan FB…)
Assalamulaikum, apa pendapat dan pandangan tuan, Pemuda Bani Tamim sudah pun lahir di Malaysia bumi bertuah ini. Beliau sudah membentuk Jamaahnya untuk permulaan selepas dibai'ah dan dan sahkan oleh Tuan Guru Wali Hidup (*saya tidak pasti siapakah orang yang dikatakan Wali Hidup ini, tapi mungkin sekali Ustaz Muhammad Tohir bin Ismail, pengasas Pondok Sungai Bayu, Gua Musang, Kelantan) . Identitinya Allah sembunyikan untuk mengelirukan musuh-musuh.
ABU ZULFIQAR : Wlksm tuan. Pendapat dan pandangan saya..... saya tidak tahu PBT (*Pemuda Bani Tamim) sudah lahir ataupun belum, tapi tidak mustahil jika dia sudah lahir ketika ini. Tentang tempat lahirnya tidaklah saya ketahui. Hadith-hadith Nabi cuma mengatakan PBT akan datang dari sebelah Timur. Timur itu pula sangat luas, dari Najd ke Iraq, Khurasan, Sind, Hind, India, China, Indochina, Jepun, Nusantara... sangatlah luas wilayahnya. Namun, tidak mustahil jika dia lahir di Malaysia.
Tentang PBT sudah membentuk jemaahnya sekarang, saya tak tahu juga. Boleh jadi sudah, boleh jadi juga belum. Tentang PBT dibai'ah dan disahkan oleh Tuan Guru Wali Hidup, hal ini kali pertama saya mendengarnya. Jadi saya tak ada maklumat tentangnya.
Tentang identitinya disembunyikan Allah, ya, saya berpandangan begitu kerana jika identitinya terdedah, sudah tentu dia akan dibunuh, atau dianiaya, atau dicacatkan, atau sebagainya sejak awal lagi oleh musuh-musuh Islam. (*Fahamlah kita, bahawa Pemuda Bani Tamim sebenar tak akan mudah-mudah menghebahkan dirinya sebagai PBT. Yang menghebah-hebah ke sana ke mari itu, ringkas cakap… bukan dia le tu)
Sebenarnya gelaran "Pemuda Bani Tamim" itu sendiri saya belum ketemu dalam hadith-hadith yang sesuai dijadikan sandaran kecuali satu hadith (mungkin ada yang lain, cuma saya belum jumpa). Dalam hadith-hadith lain, gelaran 'PBT' tidak dinyatakan secara langsung. Wallahua’lam.
ABON : Terima kasih atas pendapat tuan tu...memang tak jelas dalam hadith-hadith mengenai PBT ni, tapi ada satu hadith yang mengatakan pemegang/pembawa Panji Hitam ALMahdi, juga dia akan memperolehi kerajaan yang luas di Timur...sebenarnya dari kefahaman ana PBT ni satu rahsia Allah yang amat besar dan bukan mudah untuk difahaminya,,,melainkan dengan pentunjuk dari Allah...Tuan boleh scan nama seseorang untuk mengetahui asal usulnya? (*Kemudian dialog kami bersambung pada waktu yang lain, sebagaimana di bawah)
ABON : Maaf menggangu tuan. Tuan orang Taiping?
ABU ZULFIQAR : Ya, saya di Taiping. Tuan di mana?
ABON : Ana di KL tuan, tapi mentua orang Taiping. Tuan Taiping area mana?
ABU ZULFIQAR : Asal di Pokok Asam.
ABON : Dekat tu, tuan dah dapat mesej yang ana hantar tu (*tentang kemampuan scan nama orang untuk mengetahui asal-usulnya – satu ilmu yang hebat nampaknya)?
ABU ZULFIQAR : Oh, belum baca. Maaf, Baru nak baca, dia (*mesej itu) dok kat atas tadi, tak perasan. Pasal scan nama, saya tak ada ilmu tu.
ABON : Sebab ana tengok komen tuan pasal PBT Lombok tu, tuan tengok muka dia tapi tak nampak auranya (sebagai) PBT. (*Sebenarnya yang saya buat ialah memohon gerak daripada Allah dan menggunakan serba-sedikit ilmu menilai orang dari air muka. Itu sahaja.)
Tuan kenal dengan Tuan Guru Baba Hj Thahir Mohamad Bin Haji Ismail?
ABU ZULFIQAR : Ya, memang tak nampak dia PBT. Yang saya nampak wajahnya menunjukkan dia berpenyakit, tak sihat. Tuan Guru Sepanjang (*seorang ulama Pattani) ke?
ABON : Bukan, Pengasas Pondok di Sg Bayu Gua Musang. Dengar cerita dia yang dah membai'ah dan mengesahkan Jamaah 313 Panji Hitam tu, sebelum dia meninggal. Tarikh bai'ah 27/4/12 Allahyarham kembali ke rahmatullah 1/5/12. (*Dalam siri akan datang, saya akan bawa kisah ini selanjutnya. Kononnya Pemuda Bani Tamim (atau Raja Langkasuka) bersama-sama beberapa orang rakannya ada pergi bertemu Ustaz Tohir ini, dan Ustaz Tohir menangis dan membai’ah Raja Langkasuka. Selang beberapa hari, meninggallah si ustaz. Maka hilanglah saksi utama peristiwa itu dari alam ini. Benar atau tidak, tidaklah dapat kita pastikan. Wallahua’lam).
ABU ZULFIQAR : Belum pernah dengar ceritanya tentangnya. Dulu dia tinggal di mana?
ABON : Dia asal Patani...berguru juga di Pondok Pasir Tumboh. Dia buka pondok di Gua Musang tu.
ABU ZULFIQAR : Saya tak ada maklumat tentang diorang, jadi tak tahu nak komen apa-apa.
ABON : Ok tuan takpe, ana tanya aja. ana beraya di Taiping insyaallah..ingat nak kenal dengan tuan.
ABU ZULFIQAR : Oo... rumah saya di Trong. Kampung asal di Taiping. Tak ada orang dah di Pokok Asam. Rumah tuan di mana?
ABON : Taman Sri Kurau Kamunting. Kita boleh kat masjid solat jamaah, pastu boleh kenal-kenal.
 ABU ZULFIQAR : Hmmm... tak berani janji lagi. Tengok dulu, sebab jadual raya ni memang agak padat.
 ABON : Ok takpa tuan,,,bukan ape ana tertarik dengan komen tuan pasal PBT tu yang menjadi misteri ramai umat. Tuan tahu ke pasal Kerajaan Islam Empayar Langkasuka Nusantara akan bangkit?
 ABU ZULFIQAR : Tak tahu juga. (*Dialog terhenti dan bersambung kemudian).
ABON : Assalamualaikum,,tuan dah tengok logo Saudi Arabia Police di Google?
ABU ZULFIQAR : Wlksm tuan. Belum. Jap nak Google. (*Saya pun mengambil masa mencari maklumat yang diperkatakan, yang menunjukkan kemungkinan perkaitan antara pasukan keselamatan Saudi dengan kongsi gelap Dajjal).
ABON : Dah tengok ke tuan?
ABU ZULFIQAR : Dah. Memang menarik info ni.
ABON :  Inilah punca permasalahan umat Islam sekarang ini yang ramai umat belum faham
apa yang berlaku di Malaysia sekarang ni ada kaitan dengan ini.
ABU ZULFIQAR : Ya, kongsi gelap 'Satu Mata' menguasai dunia.
ABON : Sebab inilah Panji Hitam Langkasuka di utuskan untuk membawa umat kembali. Panji Hitam Langkasuka@Timur.
ABU ZULFIQAR : Harap-harap semua umat Islam bangkit sekali.
ABON : Di sinilah perlunya Khalifah@Raja yang berani memimpin untuk menegakkan ini. Tanpa Khalifah@Raja bagaimana Islam nak bangkit?
ABU ZULFIQAR : InsyaAllah akan didatangkan Allah rajanya.
ABON : Buktinya dah jelas...pemimpin mana yang berani menentang agen Dajjal ini,,,inilah Perintah & Amanat yang diterima oleh Jamaah 313 Panji Hitam Langkasuka dipimpin oleh Tuanku Sultan Raja Merongmahawangsa II dengan izin dan panduan Allah akan bangkit menentangnya...InsyaAllah.
ABU ZULFIQAR : Kalau benar bagai yang dikata, kita tunggu sahaja masanya nanti. InsyaAllah tak ke mana. Akan kita kalahkan juga kongsi gelap Dajjal.
ABON : InsyaAllah tuan dengan bantuan dan pertolongan Allah...pasti ianya musnah. Jamaah 313 Panji Hitam Langkasuka sedang mempersiapkan dan melengkapkan jamaahnya dengan pilihan oleh Allah.
ABU ZULFIQAR : Tuan boleh berhubung dengan Tok Kenali (*yang sudah lama meninggal dunia, tapi sebahagian orang yang tidak mahu menerima hakikat kematian Tok Kenali percaya bahawa Tok Kenali hanya “berpindah alam” ataupun sebenarnya hanya “ghaib”. Sebenarnya banyak kumpulan di seluruh dunia yang ada kepercayaan sebegini ke atas tokoh-tokoh mereka)?
Aduh, saya mana sampai ke tahap tu tuan! Masih amatur lagi. Nak berhubung dengan orang di sebalik dinding pun kena pakai telefon lagi. Tuan ada kenal ke sesiapa yang boleh berhubung dengan Tok Kenali? Ataupun tuan sendiri mungkin pernah berhubung dengannya?
ABON :  InsyaAllah..boleh diikhtiarkan...majlis Panji Hitam Langkasuka InsyaAllah akan diadakan di Masjid Tok Kenali Kubang Krian... InsyaAllah..dalam majlis yang sudah-sudah semuanya datang… (*seperti) Wali-wali Sembilan, Wali-wali kutub juga hadir. Nabi-nabi. Jin-jin Islam. (*Kelihatannya ini satu majlis yang sangat luar biasa hebat)
ABU ZULFIQAR : Memang menarik info ni. Nampak meriah majlisnya tu. Siapa antara nabi-nabi yang menghadirkan diri pada majlis tu tuan?
ABON : Alhamdulillah...jika dilihat dgn mata kasar majlis tu lihat para jamaah alam nyata ja, tapi jika dilihat dengan mata halus...kehadirannya terlalu ramai, sebab Jamaah 313 Panji Hitam Langkasuka ini mendapat 100% sokongan dari mereka dengan bantuan Allah...ini juga memang diakui oleh Zionist. Nabi Khidir, Nabi Ilyas dan ramai lagi. Mereka ingin mendengar apa yang di bincangkan.
ABU ZULFIQAR : Boleh tak diusahakan agar orang-orang di majlis tu "zass" kumpulan Nasser Mohamed (*Al-Mahdi Yaman) dan Abdul Aziz Lombok (*Pemuda Bani Tamim Lombok yang didukung kuat oleh Juniyati Hamid dari Puchong itu) tu, kasi habis. Kacau daun betul diorang berdua tu. (*Ye lah, oleh kerana kumpulan Panji Hitam Langkasuka ini ada hubungan erat dengan para nabi, para wali dan jin-jin Islam… saya ingatkan bolehlah mereka berbuat sesuatu ke atas Al-Mahdi Yaman dan lebih-lebih lagi PBT Lombok yang punya jin-jin yang hebat juga. Jawapannya……)
 ABON : Biarkanlah aja tuan..bukan mereka aja yang mengaku camtu, yang dah dikuasai oleh jin, termasuklah Global Ikhwan, Abuya (Arqam).
 ABU ZULFIQAR : Betul tu. Banyak pihak yang mengaku itu ini. Global Ikhwan pun salah satu juga.
ABON : Yang sahih Panji Hitam Langkasuka ini 100%, sebab tu semua wali-wali, para nabi hadir bila adanya majlis perjumpaan. 100%. (*Maksudnya gerenti lagi confirm betul dan benar).
ABU ZULFIQAR : Seandainya betul, kita mendoakan agar pasukan Panji Hitam Langkasuka mendapat kejayaan gemilang.
ABON : InsyaAllah tuan atas bantuan Allah juga hendaknya sebab Tuanku Sultan Raja Merongmahawangsa II ini adalah dari keturunan Nabi Allah Sulaiman + Nabi Muhammad SAW, keturunan Nabi Ibrahim + Nabi Sulaiman yang hilang tu.
AU ZULFIQAR : Tuan, saya nak minta diri dulu, nak istirehat. TQ atas info-info menarik. InsyaAllah nanti kita sambung lagi. Aslkm.
ABON : Ok..ana pun nak berundur.
ABU ZULFIQAR : Baik. (*Dialog kami bersambung kemudian).
ABON : Assalamualaikum..terima kasih. Menarik post tuan pasal logo tu. Mana tuan dapat artikel tu? (*Iaitu artikel saya yang bertajuk “Mata Dajjal dan Pihak Berkuasa Saudi” yang boleh diikuti di http://myalexanderwathern.blogspot.com/2012/08/mata-dajjal-dan-pihak-berkuasa-saudi.html . Artikel ini terhasil apabila sahabat kita Tuan Abon memaklumkan sebelum ini kepada saya tentang simbol pada lencana pasukan keselamatan Saudi. Dari situ saya mengumpul lagi maklumat-maklumat lain lalu terhasillah artikel itu)
ABU ZULFIQAR : Lepas tuan bagitau tu, ana terus round-round internet le (*cari maklumat-maklumat berkaitan).
ABON : Kena sebarkan tu. Dah hilang dah artikel tu.
ABU ZULFIQAR : Saya sedang update laman Satu Umat ni (* http://satuumat.blogspot.com/ ialah sebuah lagi laman kelolaan saya yang menyajikan info suka duka umat Islam seluruh dunia dari segi semasa dan sejarah). Nanti saya try cari semula. Tapi kat wall saya ada lagi rasanya artikel tu.
ABON : Bagus tu tuan. Simpan baik-baik artikel tu. InsyaAllah,,,minggu majlis iktikaf di masjid Panji Hitam Langkasuka akan diadakan..di satu masjid yang dah terpilih oleh Allah.
ABU ZULFIQAR : Di Masjid Tok Kenali tu ke?
ABON: InsyaAllah tuan, majlis 1 malam iktikaf. (*Dialog kami bersambung kemudian)
ABON : Assalamualaikum tuan, hadith sahih tu...ada lebih 80 hadith sahih sebenarnya...
ABU ZULFIQAR : Wlksm. Hadith tentang Pemuda Bani Tamim ke tuan? Saya jumpa 1 hadith tu je yang sebut "Pemuda Bani Tamim". Hadith-hadith lain belum jumpa. Dari segi kesahihannya saya tak pasti, kerana setakat yng saya temui, hanya Imam Baihaqi yang meriwayatkannya. Tuan ada hadith-hadith sahih yang sebut "Pemuda Bani Tamim"? Harap dapat kongsi dengan saya (*kerana katanya hadith itu sahih bahkan ada pula lagi lebih 80 hadith sahih tentangnya.)
ABON : Ya tuan Hadith tentang PBT tu, memang tak banyak hadith sebutkan PB Tamim, tapi banyak yang menyebutkan Pemegang Panji ALMahdi, ana pun bukanlah pandai sangat dalam hal ini. InsyaAllah nanti ana rujuk dengan Guru dalam Jamaah yang pakar dalam hadith ini. Ana ada maklumkan kepada Guru semalam kat surau (*siapa orangnya tidaklah dapat dipastikan, tapi mungkin sekali orang yang mengaku sebagai Raja Langkasuka/Pemuda Bani Tamim/Syuaib bin Soleh itulah, yang beroperasi di sebuah surau di Gombak itu. Wallahua’lam),  dia yang bagi tau ada lebih 80 hadith ini. Tuan juga boleh rujuk dalam Sahih Bukhari dengan Sahih Muslim, ada tu... (*berdasarkan kata-kata ini saya kira Tuan Abon sendiri tidak tahu dan tidak mengkaji pun benar atau tidak wujudnya hadith-hadith sahih yang lebih 80 buah itu, tetapi sekadar meyakini kata-kata guru tadi)
ABU ZULFIQAR : Ya, pemegang panji Al-Mahdi memang banyak disebut, tapi yang sebut "Pemuda Bani Tamim" saya jumpa hanya yang satu itu. Sebenarnya kata orang tua-tua, itu salah satu isyarat untuk kita mengetahui benarkah sesuatu pasukan itu Pasukan Panji Hitam yang dimaksudkan ataupun sekadar dakwaan sahaja. Pasukan panji Hitam yang sebenar katanya tidak akan menggunakan/mengaitkan diri mereka dengan "Pemuda Bani Tamim" (kerana gelaran itu tidak sahih dan tidak juga hasan, )tetapi mengaitkan diri mereka dengan pasukan panji hitam, pemegang panji Al-Mahdi dan seumpamanya sahaja. Itu petunjuk/rahsianya untuk kita mengenal Pasukan Panji Hitam yang asli. Kata orang tua-tua le. Wallahua’lam.
Saya pernah cuba-cuba cari dalam kedua-dua sahih yang disebutkan sekali imbas, tapi tak ada yang sebut "Pemuda Bani Tamim".
ABON : Ya betul tu tuan, itulah Panji Hitam Langkasuka Nusantara dari Timur rahsia yang ramai umat sukar untuk memahami,,hanya yang TERPILIH.
Betul tu pendapat tuan.
ABU ZULFIQAR : Dengar orng tua-tua cakap je. Mungkin ada betulnya.
ABON : Ya betul tu, memang tak salah lagi....petunjuk makin jelas selepas majlis iktikaf 1 malam baru-baru ini di Masjid Solehi Tok Kenali..
ABU ZULFIQAR : Ada info terbaru ke tuan?
ABON : Ada tuan...satu lagi keajaiban dari langit ditunjukan pada hari itu...
Ada dapat klue2 hal kebangkitan akhir zaman fasa 1 ka tuan?  Empayar Langkasuka sudah hampir bangkit
ABU ZULFIQAR : Bagus, bagus. Biar satu dunia umat Islam bangkit.
ABON : InsyaAllah tuan,,,permulaan kebangkitan Islam akhir zaman...Empayar Islam Patani Langkasuka Nusantara dari Timur. Rahsia hadis akhir zaman- "Dia datang dari Timur Pemegang Panji ALMahdi" "Memperolehi kerajaan yang luas".
ABU ZULFIQAR : Panji hitam dari Timur dan pasukannya.
ABON : Ya tuan, rahsia hadis yang ramai umat sukar nak tafsirkan. Hanya Yang Terpilih Allah berikan petunjuk.
Tuan ada apat apa2 alamat dari Allah, tentang kebangkitan akhir zaman?
ABU ZULFIQAR : Tak da alamat yang istimewa pun, biasa-biasa je.
ABON : Ok la tu, biasa-biasa pun alamat juga…
Bencana di USA (*mungkin sekali yang dimaksudkan ialah Taufan Sandy yang melanda New York pada Oktober dan November 2012 lalu) petanda kuat dan jelas kebangkitan semakin hampir. Allah hantar tentera-tentera ghaib Allah musnahkan New York,USA tapak sistem RIBA, sebagai bantuan kepada Kerajaan Panji Hitam Langkasuka Nusantara.
ABU ZULFIQAR : Ya, memang situasi di New York gawat.
ABON : Raja Utusan Allah@Khalifah akhir zaman fasa 1 dah muncul di Malaysia. Pihak Pesuruh & Pengikut Dajjal sudah mengesahkannya 5/10/12 surat pengesahan dan peralihan kuasa ekonomi kepadanya. (*Apa yang disah dan siapa yang mengesah itu tidaklah saya ketahui).
Jamaah Khalifah/Raja Utusan Allah sudah mula bergerak 1 Muharram 1434.
ABU ZULFIQAR : Wlksm tuan. Bergerak ke mana tu tuan? Ke Gaza, Palestin ke? Atau ke lokasi lain? (*Maklumlah, tentera Al-Mahdi bergerak, bukan tentera biasa! Jadi tanggapan awal saya tentulah bergerak ke arah sesuatu yang besar seperti medan jihad ke apa ke… jawapannya…)
ABON : Masjid ke masjid, bermula di Kelantan.
ABU ZULFIQAR : Oo... bagus. bagus.
ABON : InsyaAllah akan sampai pada Yang DiPertuan Agong dalam masa terdekat.
ABU ZULFIQAR : Ya, ada connection dengan pemerintah lagi mudah kerja.
ABON : Semuanya adalah perencanaan Allah tuan, Dia yang mengaturkan semuanya dan tentukannya.
ABU ZULFIQAR : Ya, betul tu.
ABON : Jika Dia berkehendak, Dia akan permudahkanya. Allah sudah menghantar beberapa orang Karkun (*istilah ini biasanya ditujukan kepada para pekerja Jemaah Tabligh) menyertai jamaah Tuanku (*iaitu Raja Langkasuka).
PENUTUP
Setakat itu sahaja dialog kami. Saya hanya menghidangkan maklumat yang saya ada, tanpa meletakkan apa-apa hukuman atau pandangan peribadi kepada kumpulan Panji Hitam Langkasuka ini agar tuan-tuan boleh baca, selidik, buat pertimbangan sendiri dan meletakkan hukuman yang sesuai. Wallahua’lam.
Berikut ialah himpunan maklumat penting yang boleh kita perhatikan daripada dialog ini :
1.      Pemuda Bani Tamim lahir di Malaysia.
2.      Jemaahnya iaitu 313 Panji Hitam Langkasuka sudah dibentuk.
3.      Jemaahnya sudah dibai’ah dan disahkan oleh Tuan Guru Wali Hidup, iaitu guru pondok Sungai Bayu, Gua Musang, Kelantan. 3 hari kemudian guru pondok itu meninggal dunia.
4.      Nama kerajaannya ialah Kerajaan Islam Empayar Langkasuka Nusantara.
5.      Pemimpinnya ialah Tuanku Sultan Raja Merongmahawangsa II. Dialah Pemuda Bani Tamim merangkap Pemegang Panji Al-Mahdi.
6.      Mereka boleh berhubung dengan arwah Tok Kenali.
7.      Majlis mereka sering diadakan di Masjid Tok Kenali di Kubang Kerian, Kelantan.
8.      Majlis-majlis mereka ada yang dihadiri oleh Wali-wali Songo/Sembilan, wali-wali kutub, jin-jin Islam, malah nabi-nabi seperti Nabi Khidhir, Nabi Ilyas dan ramai nabi lagi. Jemaah mereka mendapat 100% sokongan daripada tokoh-tokoh berkenaan.
9.      Jemaah mereka turut diakui kewujudannya oleh Zionist.
10.  Raja Langkasuka II itu berketurunan campuran antara keturunan Nabi Sulaiman dengan keturunan Nabi Muhammad. Juga berketurunan Nabi Ibrahim campur keturunan Nabi Sulaiman, iaitu satu kaum yang dikatakan hilang dalam sejarah.
11.  Mendakwa ada lebih 80 hadith sahih tentang Pemuda Bani Tamim dan yang seumpama dengannya. (Sesiapa yang ada masa bolehlah buat semakan tentang hadis-hadis ini).
12.  Dalam salah satu majlis mereka berlaku “keajaiban dari langit”.
13.  Sebagai bantuan kepada pasukan mereka, Allah menghantar tenteranya menghuru-harakan New York.
14.  Pihak Pesuruh & Pengikut Dajjal sudah mengesahkannya 5/10/12 surat pengesahan dan peralihan kuasa ekonomi kepadanya. (*Apa yang disah dan siapa yang mengesah itu tidaklah saya ketahui).
15.  Bermula 1 Muharram 1434, Jemaah mereka sudha mula bergerak dari masjid ke masjid, bermula dari negeri Kelantan.
16.  Mereka akan sampai kepada Yang Dipertuan Agong dalam masa terdekat.
17.  Beberapa orang karkun (ahli Jemaah Tabligh) sudah menjadi pengikut Raja Langkasuka ini.
Bertemu lagi dalam penyajian maklumat seterusnya dalam bahagian kedua “Perihal Pasukan Panji Hitam Langkasuka”. 
 
http://myalexanderwathern.blogspot.com/2013/03/perihal-panji-hitam-langkasuka-bahagian.html
 
 

No comments: