Monday, April 1, 2013

SAUDI - Pengikut Ajaran Ummu Jah Ditangkap



Kuala Lumpur: Anak sulung Mohd Zawawi Aman, bekas pengikut Al-Arqam, adalah antara 86 rakyat Malaysia yang ditahan bersama Hatijah Aam, balu bekas pemimpin Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad, kerana disyaki menyebar ajaran sesat dan melanggar Akta Imigresen Arab Saudi.

Mohammad Qutaibah, 20, seorang daripada lima anak Mohd Zawawi yang dibawa lari bersama oleh isterinya, Shamsiah Yusof, 45, lebih dua tahun lalu, selepas dipercayai terpengaruh dengan pergerakan yang diharamkan kerajaan pada 1994.
Mohd Zawawi, 46, berkata maklumat penahanan itu diterima daripada pihak kedutaan di Arab Saudi selepas anaknya dikatakan tidak memiliki permit sah kerana tinggal lebih masa bersama pengikut Hatijah yang lain.

Ajaran itu memecah belah keluarga saya, selain mengorbankan masa depan anak saya yang sudah lama meninggalkan alam persekolahan" Mohd Zawawi Aman, Bekas pengikut Arqam

Beliau yang pernah bersama pergerakan itu lebih 10 tahun, berkata empat anaknya iaitu Siti Khaulah Al Azwar, 19; Nur Samahah, 17; Mariam Al Adzra, 15, dan Muhammad Abdul Bar, 4, pergi ke Makkah menggunakan visa umrah tanpa pengetahuannya.

Kali terakhir Mohd Zawawi terima maklumat pada Oktober tahun lalu yang menyatakan Qutaibah bekerja di sebuah kafe milik Hatijah dikenali sebagai Bait Hassnah di Hayyu Sabi, Kaherah, Mesir.

Isteri beliau bersama empat lagi anak mereka ditempatkan di Mat’am Nur Muhammad atau Qisra Lebnon berhadapan Universiti Philidephia, Jordan.

“Saya berharap maklumat penahanan itu benar supaya saya boleh bertemu kembali selepas dua tahun ‘dihalang dan disembunyikan’ Hatijah.
“Ajaran itu memecah belah keluarga saya, selain mengorbankan masa depan anak saya yang sudah lama meninggalkan alam persekolahan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Mohd Zawawi berkata, isterinya enggan kembali taat walaupun pihak kedutaan sudah menyerahkan keputusan mahkamah berhubung perintah itu dengan alasan beliau mengutamakan kehendak jemaah ajaran Ummu Jah yang diterajui Hatijah berbanding mematuhi kehendak suami.

Lebih menyedihkan, katanya, isteri dan lima anaknya dipengaruhi ajaran sesat itu tanpa sedar mereka digunakan sebagai tenaga kerja di beberapa rangkaian restoran yang dimiliki Hatijah di Arab Saudi.

“Salah satu faktor kekayaan Hatijah ialah semua pekerjanya bekerja tanpa diberi gaji, kononnya semua yang dilakukan untuk Hatijah adalah bentuk perjuangan yang ikhlas tanpa mengharap ganjaran. Sebaliknya pekerjanya hanya diberi upah yang sedikit, selain tempat tinggal dan makan sebagai keperluan hidup,” katanya.

Mohd Zawawi yang kini Pengetua Maahad Tahfiz al-Quran An Najihah di Nilai, berkata pergerakan itu pernah mengadakan beberapa perjumpaan dengannya selepas beliau keluar organisasi itu pada 2009 dan berusaha memujuknya kembali ke pangkuan mereka.

"Mereka turut menjelaskan pemisahan isteri dan anak dengan saya yang dilakukan mereka disebabkan perbezaan aliran pemikiran. Jika saya kembali kepada mereka, ia pasti tidak berlaku," katanya yang membuat lima laporan polis berhubung kejadian itu di negara ini.

No comments: