Friday, April 12, 2013

THAILAND - Pemisah Berang Tidak Dipeduli Pemerintah




Askar Thailand memeriksa kenderaan yang dibom di wilayah Pattani, semalam. - Foto AP
Bangkok: Pemisah selatan Thai mungkin memperhebat serangan di rantau itu kerana tidak dijemput oleh kerajaan untuk mengambil bahagian dalam rundingan damai yang ketika ini hanya membabitkan Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Bekas pemimpin Agensi Perisikan Nasional (NIA), Thawil Plansri memberitahu demikian dalam satu seminar di Bangkok ketika dua lagi askar Thai terbunuh dan enam lagi cedera kerana serangan bom kereta di Pattani, semalam.
Pemisah melakukan 32 serangan di lapan daerah Pattani termasuk melepaskan tembakan ke arah pejabat kerajaan dan kedai runcit selain tiang telefon.


Tingkat serangan

Sesetengah kumpulan pemisah selain Thawil meningkatkan keganasan di selatan Thailand baru-baru ini sebagai maklum balas terhadap kegagalan kerajaan untuk memasukkan mereka dalam rundingan damai, kata Thawil, semalam.

Rundingan damai pasti satu kemestian, namun sejauh yang saya boleh beritahu, ada antara sembilan dan 12 kumpulan beroperasi di Selatan.

Justeru, apabila kerajaan Thailand secara rasmi memulakan rundingan damai dengan hanya satu kumpulan, yang lain mungkin tidak puas hati, kata Thawil. Beliau bercakap dalam seminar bertajuk: Pengajaran daripada Rundingan Damai Kerajaan Thailand dengan BRN. Persatuan Wartawan Thailand dan Agensi Berita Isra secara bersama menganjurkan acara itu.

Sejak rundingan damai secara rasmi bermula lewat bulan lalu, beberapa insiden keganasan meletus.

Jumaat lalu, seorang timbalan gabenor Yala terbunuh.

Bercakap pada seminar sama, pensyarah Universiti Chulalongkorn yang juga bekas setiausaha Perdana Menteri, Panitan Wattanayagorn berkata rundingan damai baru bermula.
AGENSI 

No comments: