Saturday, May 4, 2013

100 Bas Sewa Khas ke Kelantan Tidak Muncul

KOTA BHARU: Campur tangan pihak tertentu menyebabkan 100 bas sewa khas yang ditempah anak-anak Kelantan di Lembah Klang tidak muncul malam tadi.

Bas-bas tersebut disewa khas mereka untuk balik mengundi, sepatutnya bertolak malam tadi, namun bas yang ditempah tidak tiba.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, disyaki kemungkinan pemilik bas terbabit ditekan pihak tertentu menggunakan kuasa politik bagi menghalang bas tersebut mengangkut anak-anak perantau.

Sedangkan katanya, ketika tempahan dibuat pemilik bas terbabit sudah menyatakan persetujuan untuk mengangkut anak-anak Kelantan balik mengundi.

“Namun pada saat-saat akhir bas yang ditempah mereka tidak muncul. Ini menyebabkan mereka mengesyaki ada campur tangan pihak yang memiliki kuasa bagi menghalang perantau pulang mengundi.

“Ekoran itu mereka berpakat mencari kenderaan lain termasuk menyewa van dan kereta secara berkumpulan. Ada yang sudah sampai dan sebahagian lagi masih dalam perjalanan,” katanya.

Wan Nik berkata, kemungkinan besar ada pihak yang berada di belakang tabir menekan pemilik bas supaya membatalkan tempahan dipersetujui sebelum ini.

Menurutnya, anak-anak Kelantan melahirkan rasa kesal sehingga menyebabkan semangat untuk menolak Umno pada pilihan raya esok semakin membuak-buak.

Kata beliau juga sebahagian anak-anak perantau yang tiba di Kelantan semalam menyebabkan program-program ceramah yang diadakan malam tadi semakin melimpah.

sumber

No comments: