Saturday, May 4, 2013

BANGLADESH - 500 Korban Bangunan Runtuh

DHAKA: Lebih 500 mayat ditemui dari sebuah bangunan kilang pakaian yang runtuh di sini minggu lalu, kata pihak berkuasa semalam selepas menahan seorang jurutera yang memberi amaran bangunan itu tidak selamat namun turut dituduh membantu pemilik menambah tiga lagi tingkat secara haram kepada struktur bangunan itu.

Abdur Razzak Khan bekerja sebagai perunding di Rana Plaza apabila pemiliknya membuat tambahan struktur secara haram kepada bangunan lima tingkat miliknya, kata pegawai polis Ohiduzzaman. Khan ditahan kelmarin atas tuduhan cuai.
Pemilik Rana Plaza, Mohammed Sohel Rana memanggil Khan memeriksa bangunan itu selepas ia merekah pada 23 April lalu, lapor media tempatan.


Malam itu, Khan muncul dalam sebuah stesen televisyen swasta mengatakan selepas pemeriksaan, dia memberitahu Rana untuk mengosongkan bangunan kerana ia tidak selamat diduduki.

Khan, seorang bekas jurutera di Universiti Jahangirnagar berhampiran Savar, berkata dia menarik perhatian jurutera kerajaan supaya bangunan itu diperiksa lebih lanjut.

Polis mengarahkan bangunan itu dikosongkan, namun saksi mengatakan Rana memberitahu pekerja yang berkumpul di luar pagi berikutnya bahawa bangunan itu selamat dan pengurus kilang pakaian memberitahu pekerja untuk masuk ke dalam. Bangunan itu bagaimanapun runtuh beberapa jam kemudian.

Datuk Bandar perbandaran Savar yang dipilih, Mohammad Refatullah juga digantung tugas kerana dakwaan cuai dalam meluluskan reka bentuk dan pelan bangunan runtuh itu, kata Abu Alam, seorang pegawai atasan dalam kementerian kerajaan tempatan.
Alam berkata satu siasatan rasmi mendapati datuk bandar itu tidak mengendahkan peraturan dalam meluluskan reka bentuk dan pelan.

Datuk bandar itu adalah daripada parti pembangkang utama Bangladesh, Parti Nasionalis (BNP) dan pembangkang BNP mengkritik penggantungan itu sebagai bermotif politik. -AP

http://www.bharian.com.my/articles/KorbanbangunanruntuhBangladeshkini500orang/Article/

No comments: