Wednesday, May 1, 2013

MALAYSIA - Selamatkan Wilayah Iskandar



KUALA LUMPUR: PAS hari ini mempersoalkan bagaimana tanah rizab Melayu di Wilayah Iskandar boleh dijual jauh lebih rendah dari harga pasaran.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata tanah yang dibeli usahawan Robert Kuok itu dijual dengan harga RM 334 sekaki, berbanding harga pasaran yang bernilai RM 720 sekaki persegi.

"Persoalannya, mengapa harga yang dijual jauh lebih rendah dari harga pasaran? Dan adakah ia juga permulaan kepada tergadainya tanah Melayu untuk kepentingan segelintir pemimpin Umno sebagaimana yang dilihat di Penang ketika BN memerintah?" soal beliau pada sidang media, hari ini.

Salahudin yang juga calon Parlimen Pulai dan Dun Nusajaya berkata, umum masih tidak mengetahui bahawa bumiputera telah secara sengaja atau tidak, dipinggirkan dari pembangunan projek mega Wilayah Iskandar.

Tambah beliau, kebanyakan penduduk bumiputera yang menetap di sekitar Iskandar Malaysia kini terpaksa berpindah keluar berikutan kenaikan harga barangan yang tidak terkawal.

Dalam pada itu, beliau yang juga calon Nusajaya berkata kemasukan dana-dana pelaburan dari luar negara dikhuatiri hanya bersifat 'hot money' atau pelaburan jangka pendek.

"Keadaan ini bakal membuatkan ketidakstabilan kepada pasaran hartanah, sektor di mana kebanyakan pelaburan disalurkan. Pelabur-pelabur bersifat jangka panjang dari luar negara tidak melabur di Iskandar Malaysia, sebaliknya kebanyakan syarikat yang melabur adalah kategori industri kecil dan sederhana," kata beliau.

Mengulangi pendirian dan jaminan Pakatan Rakyat, tegas Salahuddin, PAS berjanji tidak akan menghalang sebarang bentuk pembangunan untuk kesejahteraan rakyat Johor.

Bahkan, tambahnya Pakatan Rakyat menyokong segala bentuk pembangunan jika ia memberi manfaat yang tinggi kepada rakyat Johor.

Ditanya sama ada Pakatan Rakyat akan meneliti semula segala kontrak membabitkan Iskandar Malaysia jika memenangi Johor, Salahuddin berkata Pakatan Rakyat menghormati semua perjanjian yang termaktub, namun menegaskan perlu penambahbaikan mengenainya.

"Pembangunan Iskandar Malaysia akan diteruskan, tetapi beberapa penambahbaikan perlu dilakukan agar ia tidak menjadi "Greater Singapore" semata-mata," tegas beliau.

Beliau turut memberi jaminan sekiranya berlaku pelanggaran dalam kontrak tersebut, pihaknya akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak, selain melaksanakan audit pengurusan untuk memastikan projek itu memberi manfaat kepada semua pihak.

No comments: