Wednesday, June 26, 2013

AFGHANISTAN: Kediaman Presiden diserang

Dua anggota tentera Afghanistan berkawal berhampiran Istana Presiden selepas insiden berbalas tembakan dan serangan bom kereta di Kabul, semalam. - AGENSI 
 
KABUL 25 Jun - Kediaman Presiden Afghanistan, hari ini diserang dengan tembakan dan bom kereta oleh kumpulan militan Taliban.
Serangan itu berlaku seminggu selepas Taliban membuka ibu pejabat di Qatar yang dilihat sebagai langkah pertama untuk mengadakan rundingan damai bagi menamatkan ketegangan selama 12 tahun di Afghanistan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kabul, Mohammad Daud Amin, serangan itu berlaku selama lebih satu jam bermula pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia).
Dua kenderaan pacuan empat roda yang dilekatkan dengan lambang palsu Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) dilaporkan cuba melepasi pondok keselamatan untuk memasuki kawasan kediaman Presiden.
"Kenderaan pertama diperiksa dan dibenarkan masuk dan ketika kenderaan kedua tiba, pasukan keselamatan mula curiga.
"Kemudian, tembakan dilepaskan bertubi-tubi dan dua kenderaan tersebut dimusnahkan dengan bom," katanya.
Kedua-dua kenderaan itu turut dilengkapi antena radio sama seperti kenderaan ISAF, selain pemandunya memakai uniform badan keselamatan itu.
Bagaimanapun, Karzai tidak mengalami sebarang kecederaan dalam serangan tersebut dan beliau dijadualkan mengadakan sidang akhbar pada pagi ini.
Polis melaporkan, tiada sebarang kecederaan melibatkan penduduk awam, namun tidak dapat memastikan sama ada pengawal keselamatan di kediaman itu cedera atau tidak. - AFP

No comments: