Wednesday, June 26, 2013

AFGHANISTAN - Taliban Serang Istana Presiden

Kabul: Sekumpulan penyerang bunuh diri meletupkan bom kereta dan bertempur dengan askar Afghanistan di luar Istana Presiden semalam selepas berjaya menyusup masuk ke dalam kawasan berkenaan. 

Bagaimanapun, usaha mereka sia-sia selepas semua penyerang terbunuh manakala seorang anggota keselamatan maut. 
Di selatan Afghanistan, sebuah bas mini musnah selepas melanggar bom yang ditanam di sebatang jalan raya menyebabkan 11 anggota satu keluarga maut, kata jurucakap gabenor Kandahar, Ahmad Jawed Faisal. 


Antara yang maut termasuk lapan wanita, dua kanak-kanak dan seorang tua manakala dua lagi lelaki cedera. 

Taliban bertanggungjawab 

Pergerakan Taliban mendakwa bertanggungjawab atas serangan ke atas Istana Presiden. 

Ia dilakukan ketika wartawan berkumpul untuk menghadiri sidang akhbar mengenai belia Afghanistan. 
Presiden Hamid Karzai juga dijangka mengadakan soal jawab mengenai usaha terbaru menyambung rundingan damai dengan Taliban. 

Istana Presiden itu dikawal ketat dan turut menempatkan kedutaan Amerika Syarikat dan ibu pejabat pengaman Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). 
Ia juga menempatkan kediaman rasmi Karzai tetapi tidak jelas sama ada pemimpin itu ada ketika serangan berlaku. 

Tembak menembak bermula pada 6.30 pagi di pintu masuk sebelah timur dekat Kementerian Pertahanan dan bekas Hotel Ariana yang kini digunakan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA). - AP

sumber

No comments: