Wednesday, June 26, 2013

MALAYSIA - ADUN Kuala Besut Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak minggu lalu, meninggal dunia pagi ini.

Allahyarham, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.40 pagi ini.

Beliau disahkan meninggal dunia akibat paru-paru berair.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, Allahyarham menang terhadap calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.
Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah mendapat 6,375 undi.

Kuala Besut mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 17,713 orang dengan peratusan 97.9 peratus adalah Melayu, 1.6 Peratus Cina dan 0.1 peratus India.

PAS rakam takziah

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa agar keluarganya bersabar dengan ujian yang dihadapi ini.

"Saya berharap keluarga Allahyarham bersabar dan menerima hakikat setiap manusia akan berakhir dengan kematian, termasuk kita. Mudah-mudahan Allahyarham ditempatkan ditempatkan di kedudukan yang terbaik di sisi-Nya," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan PAS akan mengadakan ziarah, hari ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang yang agak 'friendly' dan tidak terlalu protokol dengan masyarakat.

"Ada kelebihan bagi batang tubuh Allahyarham, di mana tidak terlalu protokol dengan masyarakat dan memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.  Moga-moga segala khidmat beliau itu mendapat ganjaran sebaiknya," kata beliau lagi.

No comments: