Friday, June 21, 2013

PM baharu PALESTIN letak jawatan




RAMALLAH 20 Jun - Perdana Menteri baharu Palestin, Rami Hamdallah (gambar) menawarkan untuk meletak jawatan hanya dua minggu selepas mengangkat sumpah memegang jawatan tersebut, kata seorang pegawai di pejabatnya hari ini.
Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah menerima peletakan jawatan Rami, seorang ahli akademik dan ahli politik bebas yang baru mengadakan mesyuarat Kabinet pertamanya minggu lalu.
Sumber kerajaan memberitahu Reuters bahawa tindakan Rami itu adalah secara mendadak dan di luar jangkaan, dipercayai kerana 'pertikaian tentang kuasanya'.
AFP dalam pada itu difahamkan, peletakan jawatan Rami dibuat secara bertulis selepas beliau tidak berpuas hati dengan dua timbalannya.
Kabinet Rami terdiri daripada sebahagian besar ahli-ahli Parti Fatah yang diketuai Mahmoud dan pengulas politik segera mempersoalkan ruang yang dimiliki Perdana Menteri itu untuk bertindak.
Perdana Menteri terdahulu, Salam Fayyad meletak jawatan pada April lalu selepas enam tahun memegang kuasa yang dibelenggu masalah ekonomi dan persaingan daripada ahli-ahli politik Fatah yang berebut untuk mendapat kuasa. - REUTERS/AFP

No comments: