Monday, July 15, 2013

INDONESIA: 53 penduduk kampung kembali bertaubat

Sebahagian penduduk Kampung Legok Desa Sukarame, Garut, Jawa Barat kembali bertaubat setelah sekian lama mengamalkan ajaran Ikrar Sunnah, yang bertentangan dengan ajaran Islam. - AGENSI 
 
JAKARTA 14 Julai - Sebanyak 53 orang dari Kampung Legok Desa Sukarame, Garut, Jawa Barat kembali bertaubat setelah sekian lama mengamalkan ajaran Ikrar Sunnah, yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Kesemua warga kampung berkenaan melafazkan kalimah syahadah selepas siasatan pihak berkuasa mendapati kumpulan pengikut ajaran Ikrar Sunnah itu tidak menyebut nama Nabi Muhammad SAW di dalam syahadah mereka atau dalam azan kerana ingin menghormati nabi-nabi lain.
Bahkan, kumpulan pengikut ajaran sesat itu juga melaksanakan dua rakaat bagi semua solat lima waktu kerana mahu disamakan dengan keringanan solat bagi mereka yang musafir.
Ajaran Ikrar Sunnah juga menetapkan kesemua pengikutnya berbuka puasa selepas selesai mengerjakan solat Maghrib atau 10 minit selepas azan Maghrib berkumandang seperti mana jarak waktu antara waktu Imsak dan Subuh.
Seorang pengikut ajaran itu, Athim, 18, berkata, sejak sepuluh tahun lalu, dia dan sejumlah masyarakat di desa berkenaan melaksanakan solat lima kali sehari dengan dua rakaat sahaja pada waktu masing-masing.
"Sejak kecil lagi saya sudah diajar solat dua rakaat saja sama seperti solat Subuh. Ada masanya saya sendiri malu atau dipulaukan teman-teman sekolah karena solat saya berbeza daripada mereka," kata Athim kepada wartawan selepas kembali mengucap dua kalimah syahadah bersama-sama pengikut ajaran Ikrar Sunnah yang lain di Masjid Al Amin di kampong tersebut pada Sabtu lalu.
Selain Athim, puluhan pengikut terdiri daripada kaum wanita dan lelaki dewasa serta golongan yang sudah akil baligh menitiskan air mata kerana menyesali tindakan mereka melakukan amalan yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendengar khutbah ringkas yang disampaikan oleh wakil Majlis Ulama Indonesia, kesemua pengikut ajaran sesat itu kembali bersalaman dan bermohon maaf daripada masyarakat setempat.
"Memang cukup sedih kerana bertahun-tahun kami telah salah melaksanakan ibadah," ujar Athim penuh kesal.
Sebelum ini, MUI mengadakan pertemuan dengan para pengikut aliran Ikrar Sunnah di Garut, sebelum mencapai keputusan bahawa ajaran berkenaan menyimpang kerana salah mentafsirkan isi kandungan kitab suci Al-Quran.
Ketua MUI Garut, Kiai Agus Mohamad Soleh juga mendapatkan penjelasan daripada Aceng Solihin, 65, yang merupakan ketua ajaran Ikrar Sunnah bersama dua lagi temannya, Wara, 60, dan Yahya, 57, yang bersedia kembali ke jalan yang benar.
Ketiga-tiga lelaki berkenaan juga pernah ditahan polis bagi menghindari mereka tidak diadili oleh masyarakat setempat kerana melakukan ajaran sesat.
"Kita buat jadual setiap minggu untuk membawa mereka kembali ke jalan Allah dengan melaksanakan solat, azan dan puasa seperti mana uamat Islam yang lain," ujar Agus.
- UTUSAN

No comments: