Tuesday, July 23, 2013

IRAQ - 2 Penjara Diserang, 41 Maut

Baghdad: Militan Iraq menyerbu dua penjara, termasuk Abu Ghraib, mencetuskan pertempuran yang mengorbankan 41 orang dan menyebabkan sekurang-kurangnya 500 banduan lolos, kata pegawai. 

Serangan serentak ke atas penjara Taji, di utara Baghdad dan Abu Ghraib, di barat ibu negara itu, dilancarkan malam kelmarin dan berlanjutan kira-kira 10 jam. 
Penjara Abu Ghraib, yang terkenal sebagai pusat penderaan penentang bekas Presiden Saddam Hussein, memperoleh populariti baru ketika pencerobohan diketuai Amerika Syarikat apabila gambar grafik mengenai penderaan banduan tersebar. 


40 dipercayai cedera 

“Kira-kira 500 banduan terlepas daripada penjara Abu Ghraib,” kata anggota jawatankuasa Parlimen mengenai keselamatan dan pertahanan, Hakem al-Zamili. 

Zamili berkata, sepanjang pengetahuannya, tiada banduan terlepas daripada penjara di Taji. 

Namun ahli Parlimen, Shwan Taha, yang juga ahli jawatankuasa itu, berkata dalam kenyataan online antara 500 dan 1,000 banduan lolos daripada kedua-dua penjara. Pegawai berkata, sekurang-kurangnya 20 anggota pasukan keselamatan maut dan 40 lagi cedera dalam serangan itu. Jurucakap Kementerian Kehakiman pula berkata, 21 banduan terbunuh dan 25 cedera dalam rusuhan di penjara itu. 

Tidak diketahui dengan jelas jumlah militan yang menyerang penjara itu yang terbunuh, cedera atau ditangkap. 

Serangan dilancarkan pada jam 9.30 malam waktu tempatan semalam apabila militan menembak mortar ke arah penjara itu. 

Empat bom kereta 

Empat bom kereta diletupkan berhampiran pintu masuk ke penjara, manakala tiga pengebom bunuh diri menyerang penjara Taji, kata seorang kolonel polis. Lima bom tepi jalan juga meletup berhampiran penjara di Taji.

Pertempuran berlanjutan sepanjang malam ketika tentera mengerah pesawat ke tempat kejadian dan mengukuhkan kawalan di sekitar dua penjara itu. 
Keadaan dapat dikawal menjelang pagi semalam, kata polis. - AFP sumber

No comments: