Wednesday, July 17, 2013

Lagi pertempuran tercetus di MESIR, 7 maut

Beberapa penyokong Mohammed Mursi, melontar batu ke arah penunjuk perasaan yang menentang bekas Presiden itu dan anggota pasukan keselamatan dalam satu pertempuran di sebuah jambatan di pusat bandar Kaherah, Mesir, kelmarin. - AGENSI 
 
KAHERAH 16 Julai - Pertumpahan darah kembali melanda Mesir apabila tujuh orang terbunuh manakala 261 orang cedera apabila polis dan penunjuk perasaan yang terdiri daripada penyokong dan penentang bekas Presiden, Mohammed Mursi bertempur.
Pertempuran tersebut bermula sejak pukul 9 malam tadi (3 pagi waktu Malaysia) dan berlanjutan sehingga ke awal hari ini apabila kedua-dua kumpulan itu cuba menyekat laluan utama menyeberangi Sungai Nil.
Agensi berita MENA melaporkan, sekumpulan pemuda yang memakai penutup mulut untuk mengelak daripada gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis, bertindak balas dengan membaling batu ke arah polis sambil melaungkan slogan pro-Mursi serta antitentera.
Helikopter tentera turut berlegar-legar di ruang udara di kawasan kejadian di tengah Kaherah itu dan beberapa van polis turut dihantar untuk menyuraikan tunjuk perasaan tersebut.
Berpuluh-puluh ribu penyokong Ikhwanul Muslimin turut berkumpul di Masjid Rabaa Adawiya di timur laut Kaherah, lewat semalam.
Selain itu, seramai 401 orang ditahan polis berhubung pertempuran yang berlaku.
Perhimpunan besar lain diadakan di Universiti Kaherah, bandar Iskandariah dan bandar Assiut, selain berlaku pertempuran antara penyokong pro dan anti-Mursi di Giza.
Di Dataran Ramses pula, polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang bertindak balas dengan membaling batu.
Pertempuran itu menjadi keganasan pertama melibatkan penyokong pro-Mursi dalam tempoh seminggu selepas 53 orang rakan seperjuangan mereka maut dalam satu tunjuk perasaan di luar ibu pejabat Pengawal Republikan di Kaherah, Isnin lalu. - REUTERS/AGENSI

No comments: