Saturday, July 20, 2013

MALAYSIA - Muzakarah Fatwa Haramkan Shisha

Kuala Lumpur: Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan shisha haram bagi umat Islam. 

Selain menghisap shisha, muzakarah yang bersidang Rabu lalu, turut melarang umat Islam daripada menyediakan perkhidmatan menghisapnya atau apa-apa aktiviti berkaitannya. 
Ini diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, dalam kenyataannya semalam. 


“Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar daripada Kementerian Kesihatan dan meneliti maklumat serta bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudaratan besar dihadapi akibat shisha, muzakarah bersetuju memutuskan shisha adalah haram,” katanya. 

Kemudaratan shisha 

Abdul Shukor menjelaskan penggunaan shisha akan memberi kesan dan kemudaratan besar dari segi kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi akan datang. 

Muzakarah khas itu, katanya, mendapati semua dapatan saintifik menerusi pelbagai kajian komprehensif yang dilakukan di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa membuktikan shisha memberi kesan amat berbahaya dan penularannya amat membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja dan wanita. 
“Dalam hal ini, muzakarah menasihatkan seluruh umat Islam tidak terbabit dengan apa-apa aktiviti berkaitan shisha kerana pengharamannya adalah berdasarkan nas syarak daripada al-Quran dan hadis serta kaedah fiqhiyyah,” katanya. 

Katanya, ia memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam maqasid syari’yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dipelihara seperti tuntutan syarak. 

“Shisha jelas memudaratkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai perkara buruk atau keji yang perlu dihindari semua umat Islam,” katanya. - BERNAMA sumber

No comments: